SELAYANG - Kelemahan hebahan dan promosi didakwa punca Pasar Selayang Baru yang telah beroperasi hampir enam tahun kurang mendapat sambutan pelanggan.
Setiausaha Persatuan Peniaga Bumiputera Selayang, Anizah Zainal berkata, saban hari peniaga mengeluh apabila keadaan pasar lengang sekali gus menjejaskan hasil pendapatan harian mereka.
Menurutnya, keadaan pasar itu hanya akan menjadi sedikit sibuk pada hujung minggu.
"Impak kepada masalah itu adalah banyak peniaga terpaksa angkat kaki, berhenti berniaga kerana tidak mahu terus menerus menanggung kerugian.
"Walaupun sewa kedai di bawah RM200 tetapi jika hari-hari makanan yang dijual tidak habis, akan menyebabkan kerugian dan pembaziran," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau ditemui ketika Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengadakan sesi walkabout di pasar berkenaan.
Anizah berkata, pihaknya menggesa Majlis Perbandaran Selayang untuk memperbanyak hebahan dan makluman berkenaan kewujudan pasar berkenaan.
"Pasang tanda arah, ramai tidak tahu kewujudan pasar ini kerana lokasinya agak ke dalam (kawasan perumahan). Orang hanya tahu ada pasar pagi tapi tidak tahu kami telah berpindah ke lokasi baru.
"Saya juga minta supaya fungsi bangunan ini dimaksimumkan. Bahagian atas 'rooftop' diadakan acara mingguan seperti 'car boot sale' atau aktiviti bersesuaian supaya orang tahu kewujudan pasar ini," katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata, pihaknya ambil maklum beberapa isu yang dibangkitkan dan akan ditangani dengan sebaiknya.
Mengulas berkenaan masalah kekurangan pelanggan, beliau berkata, ia disebabkan isu persaingan perniagaan.
Selain itu katanya, pihaknya juga akan mempertingkatkan lagi hebahan dan makluman kepada orang ramai mengenai operasi Pasar Selayang Baru.
"Pada masa sama, kita akan naik taraf penyelenggaraan bangunan ini secara berkala. Antara isu dibangkitkan termasuk lantai licin sebelum ini telah dipasang 'karpet' namun tidak dapat menyelesaikan masalah berkenaan.
"Naik taraf major mungkin terpaksa dilakukan dengan pemasangan lantai yang lebih kesat dan kasar untuk mengelakkan pengguna tergelincir ketika berada di bahagian pasar basah," katanya.