KUALA SELANGOR - Sebanyak sembilan Taman Agroteknologi Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di negara ini menerima 1 juta pelancong dengan RM20 juta setahun pendapatan pelancongan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, Taman Agroteknologi Cameron Highland misalnya menerima jumlah kedatangan pelawat tertinggi iaitu purata 3,500 hingga 5,000 sehari.
"Selain itu, Taman Agroteknologi Langkawi dan Tanjong Karang juga mencatatkan jumlah pengunjung yang ramai," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pelancaran Taman Agroteknologi Mardi Tanjong Karang di sini pada Ahad.
Foong Hin berkata, pada masa ini, MARDI juga merancang untuk membuka beberapa lagi Taman Agroteknologi yang dirasakan sesuai dengan kemudahan prasarana mencukupi.
"Kita sedang melihat potensi di Sintok, Kedah dan di sana kita merancang untuk membangunkan konsep buah-buahan tropika seperti durian dan mangga yang boleh menjadi tarikan baru di sana," kata beliau.
Beliau memberitahu, MARDI mengetengahkan elemen teknologi dan inovasi pertanian secara pengkhususan di setiap taman agroteknologi.
Sehubungan itu, katanya, kementeriannya memperuntukkan sebanyak RM5 juta diluluskan bagi peruntukan pembangunan melalui geran agropelancongan.
"Tiga skop geran ini meliputi membina dan menaiktaraf infrastruktur serta kualiti perkhidmatan di pusat agropelancongan, program galakan promosi dan program pembangunan modal insan," jelas beliau.
Beliau memberitahu, sehingga kini, sebanyak 36 pusat agropelancongan menerima geran bantuan itu dengan agihan peruntukan sebanyak RM3.94 juta sehingga Jun lalu.
"Kita juga menggalakkan usahawa memohon geran agropelancongan ini melalui agensi MARDI atau agensi di bawah kementerian ini untuk mendapatkan bantuan bagi meningkatkan lagi produktiviti dan pendapatan," jelas beliau.