KUALA TERENGGANU - Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Datuk Razali Idris menegaskan supaya tidak sesekali membawa unsur kleptokrasi di Terengganu.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu itu berkata, ini kerana rakyat di negeri ini terutama golongan belia tidak terpedaya dengan dakyah tersebut yang masih segar dan mengakar dalam kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid ketika berceramah pada Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul (LesGU) yang disyaki mengandungi unsur sogokan terhadap pengundi muda.
"Tolak kleptokrasi dalam kepimpinan kakistokrasi Kerajaan Perpaduan Madani ini. Kleptokrasi terbaharu datang dari Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika berucap sewaktu LesGU pada Jumaat lalu.
"Menggunakan platform Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang mana melaungkan kepada umum bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
"Ia dikatakan bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di negeri ini," katanya di Facebooknya pada Ahad.
Sebelum ini media melaporkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di Terengganu.
Perkembangan itu diumumkan ketika LesGU sempena program Sentuhan Kasih Desa di Bandar Al Muktafi Billah Shah di Dungun pada Jumaat.
Turut diumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri tersebut.
Mengulas lanjut, Razali berkata, kemudian disogokkan pula jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan belia dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Ujarnya, ia juga dicampur aduk dengan ucapan politik bahawa yakin gelombang biru dan merah akan mengubah ‘pantai politik’ di Terengganu pada PRN nanti apabila didukung golongan pengundi belia yang turut akan diberikan peruntukan RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri ini.
"Sefaham saya agaknya berapa banyak persatuan permotoran di pantai timur ini dan agaknya semua dapat atau kroni atau geng nepotisme yang terpilih sahaja ? Inilah gula-gula PRN secara terang-terangan oleh kerajaan Perpaduan Madani.
"Makin rosak nampaknya. Rakyat dan pengundi Terengganu semakin bimbang dengan sebuah pemerintahan yang dipimpin ahli-ahli korup menggunakan kuasa untuk mempergunakan rakyat dan sumber negara mereka agar dapat menambahkan kekayaan dan tampuk kekuasaan mereka sendiri," jelasnya.
Menurut Razali, sistem sebegini biasanya melibatkan penyelewengan simpanan negara sehingga menyusahkan rakyat termasuk 'menggula-gulakan' rakyat menerusi angka yang sangat mempersonakan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Bantuan belia: Zahid selar tuduhan Syed Saddiq
'Pemberian geran inisiatif kerajaan, tiada unsur rasuah' - Azam Baki
Ahmad Zahid langgar larangan 3C - Bersih