Ziarah Kasih dijadikan program tetap, teliti masalah internet - Fahmi

Iklan
Fahmi ketika sidang akhbar pada Program Ziarah Kasih di Kampung Bukit Badong, Bestari Jaya pada Ahad. - Foto Bernama

KUALA SELANGOR - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan menjadikan program Ziarah Kasih sebagai program tetap di bawah KKD bagi mendekati dan membantu rakyat yang memerlukan di samping meneliti masalah internet yang dihadapi mereka.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, program itu akan turut melibatkan pihak-pihak berkaitan sekali gus menjadikan bantuan yang disalurkan lebih menyeluruh.

Iklan
Iklan

"Kita lihat memang wajar program di bawah kementerian ini diteruskan sambil selesaikan isu internet, isu kebajikan juga kita beri sedikit perhatian.

"Bila saya sendiri lihat keadaan, memang ada beberapa perkara yang perlu dipercepatkan. Insya-ALLAH, lepas ini di tempat lain pula,” katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Kasih di dua buah rumah di Kampung Bukit Badong, Bestari Jaya dekat sini yang turut disertai calon PH-BN DUN Ijok, Amidi Abdul Manan.

Iklan

Katanya, program serupa akan diadakan di Sabah dan Sarawak, masing-masing pada 25 Ogos serta 2 September ini.

"Sekitar tempoh itu kita akan ambil kesempatan untuk ziarah wartawan (pengamal media) atau orang awam yang menghadapi isu kesihatan atau kebajikan, sambil teliti masalah internet yang mereka hadapi,” katanya.

Iklan

Sementara itu, warga emas Sawiah Adam, 72, menyifatkan kehadiran Fahmi di kediamannya membuktikan menteri itu seorang yang berjiwa rakyat serta prihatin dengan nasib masyarakat.

Sawiah berkata, bantuan yang diberikan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai itu akan dimanfaatkan dengan sebaiknya.

"Makcik ada (menghidap) pelbagai jenis penyakit antaranya gout, buah pinggang dan jantung menyebabkan pergerakan juga terjejas. Dengan adanya kerusi roda baharu ini akan mempermudahkan pergerakan makcik,” katanya.

Selain itu, mengulas mengenai kelajuan internet di kampung tersebut, Fahmi berkata, beliau telah mengarahkan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyelesaikan masalah berkenaan dengan kadar segera.

"Saya difahamkan penduduk kampung telah lapor (masalah internet) sejak 2020 pada SKMM, saya tidak faham mengapa ada kelewatan dan masalah internet berlarutan.

"Kita tengok di sini satu bar (kelajuan internet) sahaja, memang ada masalah yang kronik, saya cuba selesaikan. Namun bergantung kepada isu, jika melibatkan pembinaan menara ia akan mengambil masa, kita akan semak menara sedia ada,” katanya. - Bernama