PORT DICKSON - Anak kepada Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menafikan beliau menggunakan populariti ayahnya untuk meraih undi sepanjang berkempen pada pilihan raya negeri (PRN) ini.
Mohd Najib Mohd Isa yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bangan Pinang berkata, jika sekadar bersandarkan nama ayahnya, ia tidak dapat memberi keyakinan kepada pengundi.
"Populariti, pengaruh atau nama ayah itu dah melekat pada saya sejak lahir dan saya tak boleh lari. Itu dah ada pada diri saya.
"Kalau katakan saya berkempen guna populariti ayah dengan tak keluar rumah langsung, akhirnya orang pun tak yakin dengan saya malah ia langsung tak membantu dan lagi menimbulkan masalah," katanya ditemui ketika menyaksikan pertandingan sepak raga tuju di Jalan Haji Jaafar di sini, pada Ahad.
Jelas Mohd Najib, beliau tetap perlu turun berkempen sama seperti calon lain memperkenalkan diri kepada pengundi.
Malah katanya, kesempatan yang ada ini juga digunakan untuk mengumpulkan maklumat permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat di kawasan yang ditandingi.
"Yang bertanding dan wakili parti adalah saya. Jadi dalam tempoh berkempen ini saya lebih banyak buat tinjauan mesra jumpa pengundi memandangkan ini kali kali pertama saya bertanding.
"Tapi paling penting saya akan jaga status dan populariti ayah saya sebaik mungkin. Ketika tinjauan mesra pun ramai yang masih ingat jasa ayah saya," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson berdepan pertembungan satu lawan satu dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Fatah Zakaria.
Untuk rekod, Mohd Isa pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang setelah memenangi pilihan raya kecil (PRK) pada Oktober 2009 selain ADUN Linggi mulai 1978 hingga 2004.
Malah beliau juga merupakan menteri besar paling lama di Negeri Sembilan iaitu dari tahun 1982 sehingga 2004.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Calon anak beranak, tak sepatutnya dijadikan isu' - Bibi Sharliza
PRN: Isteri, anak Isa Samad calon BN di Juasseh, Bagan Pinang