KUALA NERANG - Calon Perikatan Nasional (PN-Pas), Mohd Radzi Md Amin atau lebih dikenali sebagai Pak Su dalam kalangan penduduk setempat tidak gentar berdepan pencabarnya, calon heavyweight Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mahdzir Khalid yang lebih mesra dengan panggilan Tok Det.
Mohd Radzi berkata, biar sesiapa sahaja ditampilkan pihak lawan untuk merampas kerusi DUN Pedu yang disandangnya itu, beliau bersedia memberikan saingan sengit.
Menurutnya, perlawanan dalam politik akan dinilai oleh penduduk setempat yang akan memberi undi pada 12 Ogos depan.
"Bukan halangan walau siapa pun bertanding, masing-masing ada gerak kerja dan kaedah tersendiri dalam menyantuni masyarakat.
"Pak Su tak gentar berdepan calon heavyweight sekalipun, perasaan itu tidak ada. Setiap calon dalam pertandingan politik mesti hadapi cabaran dengan pelbagai cara,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Mohd Radzi berharap dapat membawa lebih banyak pembangunan khususnya di Pekan Naka yang disifatkan agak ketinggalan.
"Pak Su tak mahu janji bulan bintang, Pak Su tak boleh berikan harapan bukit emas kepada penduduk Pedu, hanya mahu berkhidmat sebaik mungkin sebagai wakil rakyat.
"Kebanyakan tanah di Naka milik KEDA (Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah), Pak Su akan cari kaedah majukan kawasan ini dan bantu rakyat Pedu yang sentiasa di hati ini sejak 2018 selepas diberikan amanah sebagai wakil rakyat. Harapan Pak Su agar penduduk dapat menumpang pahala kebaikan yang kita lakukan bersama,” katanya.
Mohd Radzi optimis dapat mengekalkan kerusi disandangnya itu untuk penggal kedua berdasarkan kepada penerimaan pengundi serta gelombang PN di Kedah.
"Kali ini usaha lebih hebat untuk tambah majoriti undi lebih besar berbanding PRU14 lalu, iaitu 670 undi. Majoriti ketika itu sedikit walaupun BN dianggap kuat namun dapat atasi sebaiknya. Strategi tentulah tak boleh didedahkan,” katanya.
Mohd Radzi menewaskan calon BN, Kama Noriah Ibrahim serta Hashim Idris daripada PKR pada PRU14 lalu.
Dalam PRN kali ini, seramai 28,586 pemilih layak mengundi di kawasan DUN Pedu melibatkan 51 saluran mengundi.