KEHADIRAN personaliti media sosial popular Indonesia, Mimi Peri ke Kuala Lumpur sejak beberapa hari lalu telah menarik perhatian ramai.
Dalam diam, pemilik nama sebenar Ahmad Jaelani itu rupanya membintangi filem terbaharu terbitan Datuk Fizz Fairuz iaitu Mat Tudung Begins.
Sempat berkongsi beberapa hantaran ketika tayangan perdana filem itu pada pada Jumaat lalu, dapat dilihat ramai yang bersorak dan mengambil peluang bergambar dengan Mimi Peri yang cukup terkenal dengan video mengejut sahur itu.
Malah menerusi temu bual bersama media, Mimi memberitahu impiannya untuk mengunjungi dan bergambar di depan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) akhirnya menjadi kenyataan.
"Sebelum ini saya hanya melihat KLCC di televisyen. Kali ini alhamdulillah saya sudah datang melihat sendiri menara itu dan bergambar.
"Saya berterima kasih kepada Fizz kerana menawarkan untuk berlakon dalam Mat Tudung Begins, sekali gus memberi peluang buat saya berkunjung ke Malaysia," katanya.
Tambah Mimi, dia begitu terharu dengan layanan baik oleh semua pihak kepadanya sepanjang berada di negara ini.
"Saya senang sekali apabila ramai peminat di sini mahu mengambil gambar bersama saya. Sejujurnya saya tidak pernah ke mana-mana selain di kampung sendiri," ujarnya.
Selain Mimi Peri, Mat Tudung Begins turut dibintangi Fizz Fairuz, Achey, Isyariana, Maryam Durian Kimchi, Kazar Saisi dan Fazlina Datuk Ahmad Daud.
Filem tersebut akan mula ditayangkan di pawagam bermula 3 Ogos ini.