SHAH ALAM - Tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan peruntukan khas kepada tiga badan sosial di Terengganu tiada kena mengena dengan pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan pada 12 Ogos 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana pengumuman itu dibuat sebelum penamaan calon.
"Ada orang cadang jangan buat pengumuman langsung mengenai peruntukan itu namun tidak boleh kerana saya adalah Perdana Menteri, perlu jaga negara dan semuanya. Kalau penting, maka kita umum.
"Tapi saya sudah beritahu tidak boleh guna jentera negeri khususnya yang melibatkan PRN mulai semalam. Itu keputusan kabinet," katanya dalam sidang akhbar pada Ahad.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan ( HPK) 2023 di sini.
Tambah Anwar, ia tidak sepatutnya menghalang kerja-kerja kerajaan.
"Ini program sudah tiga bulan. Bila saya umum, kerana permohonan kementerian itu sudah lama jadi kita umumkan semasa hari pengguna," jelasnya.
Pada Jumaat lalu, Ahmad Zahid dalam ucapan semasa program Sentuhan Kasih Desa di Terengganu mengumumkan tambahan peruntukan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
Selain itu, beliau juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN:
Bantuan belia: Zahid selar tuduhan Syed Saddiq
'Pemberian geran inisiatif kerajaan, tiada unsur rasuah' - Azam Baki
Ahmad Zahid langgar larangan 3C - Bersih