SRI Pahang meneruskan misi memburu kelompok kedua terbaik Liga Super selepas menewaskan Perak FC dalam perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Ahad.
Kemenangan diraih hasil jaringan tunggal pemain import, Kpah Sherman pada minit ke-54, pada separuh masa kedua perlawanan meletakkan Tok Gajah terus memimpin perlawanan hingga wisel penamat.
Separuh masa pertama menyaksikan Tok Gajah kendalian Fandi Ahmad lebih banyak menguasai permainan apabila sering melakukan asakan ke kubu lawan.
Tuan rumah berpeluang memimpin perlawanan, namun tandukan Stefano Brunfo pada minit ke-22 hanya sekadar menyinggah ke tiang gol pasukan pelawat.
Selang lima minit, pemain tengah import Kuvondik Ruziev turut memiliki peluang menjaringkan gol percubaannya yang sedikit melepasi palang.
Skuad kendalian Yusri Che Lah pula memiliki peluang mendahului, namun usaha pasukan pelawat gagal melalui tandukan pemain pertahanan, Raja Imran Shah Raja Amin.
Pada minit ke-33, Muhamad Baqiuddin Shamsuddin turut terlepas peluang apabila percubaannya terkena tiang sebelah kiri lawan.
Tiga mata diraih Tok Gajah menyaksikan pasukan tersebut menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik dengan 37 mata - 11 menang, empat seri, tiga tewas - selepas mengharungi 18 perlawanan.
Perak pula kekal di kedudukan ke-11, dengan 13 mata - tiga menang, empat seri dan 11 tewas - setelah mengharungi 18 perlawanan.