Tukar lorong mengejut, penunggang motosikal maut

Iklan
Anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa dari bawah lori treler berkenaan. - Foto BBP Yong Peng

BATU PAHAT – [DIKEMAS KINI] Akibat dipercayai menukar lorong secara mengejut, seorang penunggang motosikal maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan di Jalan Labis – Yong Peng, Batu Pahat di sini pada malam Ahad.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, siasatan awal polis mendapati kemalangan melibatkan dua buah motosikal yang ditunggang dari arah yang sama iaitu dari arah Labis menghala ke Yong Peng.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal EX-5 telah mengubah arah laluan dari sebelah kiri jalan ke sebelah kanan jalan secara mengejut menyebabkan telah berlaku perlanggaran dengan sebuah motosikal lain yang sedang bergerak lurus.

"Akibatnya perlanggaran itu, penunggang motosikal EX-5 berusia 64 tahun meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Iklan

"Siasatan Polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan,” katanya.

Sementara itu Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hafiz Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan melalui talian MERS999 pada jam 9.09 malam Ahad.

Iklan

Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu jentera fire rescue tander (FRT) dan van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Yong Peng bersama sembilan anggota bomba dihantar ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba ke tempat kejadian, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati kemalangan melibatkan dua motosikal jenis Honda EX-5 dan Yamaha Y-15 dengan sebuah lori treler jenis Scania yang diparkir di tepi jalan.

"PKO mendapati penunggang motosikal EX-5 telah terperosok di bawah lori dan mangsa dikeluarkan menggunakan tandu (stretcher).

"Mangsa seorang lelaki berusia 64 tahun disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sementara penunggang motosikal Yamaha Y-15 dihantar ke klinik berdekatan oleh orang awam sebelum PKO tiba," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.