PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Isnin berkenan untuk sembah kenal balu serta waris kepada enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkorban ketika menyertai Op Daulat pada Mac 2013, di Kampung Simunul, Sabah.
Pertemuan itu berlangsung di Dataran Pahlawan Negara di sini dalam suasana sayu, usai persembahan pantomim bertajuk Op Daulat Kampung Simunul bersempena Sambutan Hari Pahlawan 2023.
Balu dan waris terbabit mewakili enam wira yang gugur pada 2 Mac 2013 iaitu Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Sarjan Mejar Baharin Hamit, Sarjan Mejar Abd Azis Sarikon, Koperal Mohd Azrul Tukiran, Sarjan Salam Togiran dan Deputi Superintenden Michael Padel.
Wira-wira yang gugur itu adalah dari Cawangan Khas, Pasukan Gerakan Am, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna.
Seri Paduka berdua yang sebak menyaksikan persembahan pantomim itu, kemudiannya turun dari pentas utama bertemu balu serta waris wira-wira negara yang terkorban itu dalam suasana yang semakin sayu dengan berlatarbelakangkan lagu"Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu" nyanyian penyanyi tersohor Uji Rashid.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan mengurniakan sumbangan ketika menyantuni balu dan waris anggota PDRM dalam pertemuan itu yang turut disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Persembahan pantomim yang menyayat hati itu adalah hasil karya Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali dan dijayakan oleh 150 anggota PDRM, Unit 69 Komando, Pasukan Gerakan Udara dan Pasukan Gerakan Am.
Pada 12 Februari 2013, lebih 200 pengganas Sulu yang memperkenalkan diri sebagai Royal Sulu Force (RSF) menceroboh secara berperingkat dari Pulau Simunul, Pulau Sibutu dan Pulau Sipangkut di selatan Filipina ke Kampung Tanduo.
Kemuncak pencerobohan berlaku dengan kejadian tembakan pada 1 Mac 2013 antara pasukan keselamatan dengan RSF di Tanduo.
Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013. - Bernama