Pemakaian kamera badan elak tohmahan jahat - Azam Baki

Iklan
Pemakaian kamera badan (BWC) oleh pegawai SPRM semasa menjalankan tugas sebagai langkah untuk mengelakkan tohmahan jahat kepada suruhanjaya itu. Gambar kecil: Azam

PUTRAJAYA - Pemakaian kamera badan (BWC) oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa menjalankan tugas sebagai langkah untuk mengelakkan tohmahan jahat kepada suruhanjaya itu.

Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya melihat BWC sebagai titik tolak penting di saat SPRM menjadi agensi yang amat diberi perhatian di dalam dan luar negara.

Iklan
Iklan

"Ketelusan amat penting kerana kita tidak mahu SPRM disyak wasangka dengan pelbagai tohmahan," katanya menerusi ucapan majlis pelancaran pemakaian kamera badan (BWC) dan jaket SPRM, di sini pada Isnin.

Menurutnya, sebanyak 142 BWC diedarkan kepada pegawai di ibu pejabat dan negeri secara berperingkat.

Iklan

"Kita akan membuat perolehan BWC dua kali ganda menerusi peruntukan RM20 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Katanya, pemakaian BWC merekod secara audio dan visual setiap peristiwa yang berlaku semasa proses siasatan sedang dijalankan SPRM.

Iklan

"Data rakaman ini akan disimpan sebagai rujukan dan diserahkan kepada mahkamah sekiranya diperlukan atau timbul sebarang isu kelak," katanya.

Tambah beliau, pembelian BWC juga tidak menelan kos yang tinggi berikutan peranti itu dibeli terus daripada pembekal mengikut harga pasaran.

"Jika kita beli sistem, maknanya ia akan disimpan dalam bentuk data, jadi kerana mahu jimatkan masa dan lebih praktikal, kita guna kamera ini secara sendirian di mana kad SD akan disimpan untuk rujukan jika ada keperluan untuk ke mahkamah atau isu-isu lain,” ujar beliau.