PM ucap selamat Hari Pahlawan kepada ATM, PDRM

Iklan
Anwar mengucapkan selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga ATM dan PDRM. - Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin, Anwar menzahirkan penghargaan atas sumbangan dan pengorbanan yang dicurahkan pasukan keselamatan itu dalam melindungi kedaulatan negara.

Iklan
Iklan

"Salut saya buat mereka atas keringat yang dicurahkan dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan pertiwi.

"Jasa dan pengorbanan para pejuang sama ada yang masih hidup atau telah pergi meninggalkan kita akan sentiasa dikenang buat selamanya. Terima kasih atas sumbangan kalian kepada negara tercinta ini," menurut hantaran itu.

Iklan

Tarikh 31 Julai setiap tahun diisytihar sebagai Hari Pahlawan sempena tamatnya darurat menentang komunis pada 1960.

Sementara itu, menerusi satu lagi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, kebhinekaan persembahan pantomim yang dipertontonkan pada sambutan Hari Pahlawan 2023 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pagi ini menggamit semua yang hadir.

Iklan

Anwar berkata, paling menyentuh hati adalah pantomim berkisar pengorbanan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika insiden serangan hendap kumpulan pengganas Sulu di Perkampungan Ai Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah pada 2 Mac 2013.

"Kendatipun insiden itu telah berlalu 10 tahun lamanya, namun ia tetap memberi kesan kepada rakyat dan negara.

"Saya dan Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) turut berkesempatan menyantuni isteri dan anak-anak anggota dan pegawai yang terkorban dalam insiden itu," katanya dalam hantaran berkenaan.

Sambutan berkenaan diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Perdana Menteri berkata, jasa dan pengorbanan pahlawan serta perwira negara pastinya akan dikenang dalam lipatan sejarah sebagai momen penting demi memastikan keamanan, keselamatan dan keharmonian negara terus kukuh serta dipertahankan. - Bernama