[VIDEO] Tukang masak hadapi 7 pertuduhan rogol, liwat pelajar Tingkatan Tiga

Iklan

MUAR - [DIKEMAS KINI] Seorang tukang masak dituduh di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tujuh pertuduhan termasuk merogol, meliwat dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar Tingkatan Tiga antara Mei hingga Jun tahun ini.

Zulhazreen Shah Zulkufli, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Iklan
Iklan

Tertuduh berdepan tiga pertuduhan merogol dan tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap mangsa yang berusia 15 tahun.

Dia turut berdepan satu pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa.

Iklan

Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di dalam kebun kelapa sawit di Jalan Bakri Muar kira-kira jam 1 pagi antara Mei hingga Jun lalu.

Pertuduhan rogol dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Iklan

Kesalahan amang seksual pula dituduh mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan jika disabitkan kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Bagi pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, Danial memberitahu mahkamah kesalahan tersebut tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin, pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000.

Tertuduh, Zulhazreen Shah (dua dari kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar pada Isnin selepas mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan termasuk merogol, meliwat dan melakukan amang seksual fizikal.

Tertuduh dalam rayuan meminta mahkamah agar merendahkan ikat jamin dan akan mendapatkan khidmat peguam bagi prosiding seterusnya.

Hakim Abu Bakar kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa dan keluarganya sehingga kes selesai selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali sebulan.

Sebutan kes bagi serahan dokumen ditetapkan pada 26 September depan.

ARTIKEL BERKAITAN:Lelaki sanggup ulang-alik 300km rogol remaja ditahan

Pekerja kilang, peniaga didakwa lakukan amang seksual gadis bawah umur

Dalam kes berasingan, seorang pekerja kilang dan seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap gadis bawah umur pada Julai.

Tertuduh, Fakhrul Amin Mohd. Nor, 21, yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam dan Muhammad Asri Ahmad Daud, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Fakhrul Amin (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar pada Isnin atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap gadis bawah umur.

Mengikut pertuduhan, Fakhrul Amin didakwa melakukan amang seksual dengan cara menyentuh kemaluan mangsa berusia 13 tahun bagi tujuan maksud seksual.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Batu Pahat pada kira-kira jam 3 pagi, 27 Julai lalu.

Manakala Muhammad Asri yang juga seorang peniaga didakwa menyentuh pipi dan mulut mangsa berusia 14 tahun di dua lokasi berasingan.

Muhammad Asri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar pada Isnin atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap gadis bawah umur.

Kejadian pertama dilakukan di belakang sebuah rumah di sini pada kira-kira jam 5.40 petang 19 Julai lalu.

Kejadian kedua pula dilakukan tertuduh di sebuah padang lapang di sini pada kira-kira jam 6 petang hari yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Abu Bakar membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 ke atas Fakhrul Amin dan RM10,000 kepada Muhammad Asri dengan masing-masing seorang penjamin selain kedua-duanya tidak boleh mengganggu mangsa serta perlu melapor diri balai boleh berhampiran setiap bulan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 5 September depan bagi sebutan semula dan serah dokumen.