Rasuah visa: Beberapa penguat kuasa tempatan mungkin terlibat

Iklan
Azam - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa agensi penguat kuasa tempatan yang terlibat dalam penyelewengan permohonan visa oleh warga Bangladesh memasuki Malaysia kononnya untuk tujuan melancong.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perkara itu masih dalam siasatan dan tidak boleh didedahkan kepada umum.

Iklan
Iklan

"Mungkin ada penglibatan beberapa pihak berkuasa di negara ini. Saya tidak kata Imigresen tetapi beberapa pihak berkuasa tempatan," katanya menerusi sidang akhbar sempena majlis pelancaran pemakaian kamera badan (BWC) dan jaket SPRM di sini pada Isnin.

Menurutnya, SPRM sedang mengesan sejumlah wang disyaki dibayar bagi tujuan perolehan visa pelancong yang disalahgunakan untuk memasuki negara ini.

Iklan

"Kami juga mengesyaki terdapat sejumlah besar wang disalurkan melalui sistem hawala di beberapa tempat," jelasnya.

Sistem hawala merupakan penghantaran wang melalui kaedah bawah tanah tanpa lingkungan sistem perbankan atau syarikat kewangan rasmi.

Iklan

Pada Jumaat, SPRM menahan dua lelaki kerana disyaki menerima wang rasuah bagi meluluskan permohonan visa oleh warga Bangladesh memasuki Malaysia, kononnya untuk tujuan melancong.

Penahanan dua individu berusia lewat 30-an itu dibuat kira-kira jam 6.30 petang, di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada Khamis.

Sebelum ini, Wisma Putra turut mendedahkan dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) yang ditempatkan sementara untuk bertugas di Pejabat Atase Imigresen di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh diberkas SPRM selepas disyaki menerima wang rasuah bagi pengeluaran Visa Luar Negara dan kemasukan pelancong serta pekerja Bangladesh ke negara ini.

SPRM mengesan beberapa transaksi kemasukan wang mencurigakan ke dalam akaun bank kedua-dua suspek dan mereka sudah diarahkan pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan kes terbabit.

Lebih 20 akaun bank membabitkan individu dan syarikat berkaitan sudah diambil tindakan pembekuan selain menyita lapan bidang tanah dianggarkan bernilai RM3.1 juta.

Ditanya mengenai sama ada pegawai Imigresen tersebut digantung telah digantung tugas, Azam berkata, perkara itu diserahkan kepada pimpinan tertinggi agensi berkenaan untuk diputuskan.

"Itu tanggungjawab Imigresen. Kami jalankan siasatan dan sedang siapkan kertas siasatan," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai siasatan kecurian unsur nadir bumi (REE) di Sik Kedah, Azam berkata, lebih ramai saksi akan dipanggil.

"Setakat ini empat telah dipanggil untuk memberi kenyataan," katanya.

Beliau berkata, fokus SPRM tidak hanya tertumpu kepada isu wang semata-mata malah turut merangkumi pematuhan kelulusan REE.

"Menjadi tanggungjawab kami di bawah Seksyen 7 untuk melihat kepada sistem dan prosedur yang ada sekiranya terdapat kelemahan dan sebagainya," jelas beliau.