"SUDAHLAH sedang berpuasa, dia boleh pula berbohong pada orang lain. Batalkah puasanya itu?"
Benar, persoalan itu nampak remeh namun, ia sedikit sebanyak 'mencacatkan' ibadah puasa kita dari segi pahala.
Perbuatan berbohong sebenarnya termasuk dalam himpunan dosa-dosa besar.
Firman ALLAH SWT:"Maka jauhilah kalian akan kotoran berhala dan jauhilah kalian ucapan yang dusta." (Surah al-Hajj, ayat 30)
Berdasarkan ayat di atas, perbuatan berbohong diselarikan kedudukan dan sebutannya dengan perbuatan menyembah berhala.
Oleh yang demikian, kedua-dua perbuatan itu dianggap sebagai sama iaitu perbuatan berdosa besar.
Justeru, berbohong dalam keadaan seseorang itu sedang berpuasa menjadikan dosa orang tersebut bertambah beratnya.
Dosa dan pahala seseorang itu boleh berbeza kadar ganjaran serta hukumannya mengikut perbezaan faktor seperti tempat ia dilakukan dan masa ia dilakukan.
Bagaimanapun, perbuatan bohong tidaklah termasuk dalam perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Namun, perbuatan itu tidak dinafikan boleh mengurangkan pahala puasa seseorang.
Apapun, ia perlu dielakkan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.
Jadikan bulan Ramadan sebagai medan untuk mentarbiah diri agar menjauhi segala perbuatan dosa dan maksiat.
Ingat, jangan sesekali berbohong. Kelak, buruk padahnya.
(Sumber: Irsyad al-Fatwa Khas Ramadhan Siri ke-113: Adakah Berbohong Membatalkan Puasa?, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)