Harga internet lebih murah menjelang September

Iklan
Harga Internet dijangka lebih murah menjelang September ini apabila Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) diguna pakai. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Fahmi)

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Harga Internet dijangka lebih murah menjelang September ini apabila Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) diguna pakai, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Bil7/2023 di sini pada Isnin, beliau berkata, penggunaan MSAP akan menyaksikan harga borong Internet dikurangkan dan menjadi lebih murah.

Iklan
Iklan

"Jadi Insya-Allah menjelang bulan September, harga Internet jadi lebih murah... kalau sebelum ini murah, tetapi kali ini (jadi) lebih murah,” katanya.

Pada 11 Julai lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, pengurangan harga runcit bagi perkhidmatan jalur lebar tetap berdasarkan MSAP hanya boleh dilaksanakan selepas perjanjian akses dimeterai antara pembekal perkhidmatan.

Iklan

MCMC berkata, buat masa ini, kebanyakan pembekal akses telah atau sedang dalam proses penerbitan Tawaran Akses Rujukan (RAO).

Kerajaan telah melancarkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap pada Februari lepas yang bertujuan membantu golongan B40, veteran, Orang Kurang Upaya dan warga tua. Pakej ini disertai dengan kontrak langganan selama 24 bulan dan berharga RM69 sebulan, menyediakan kelajuan Internet sehingga 30Mbps dengan data tanpa had.

Iklan

Fahmi berkata, dasar baharu"di mana ada jalan, di situ ada Internet" akan diperkenalkan bagi memastikan masyarakat mendapatkan akses Internet dengan lebih meluas.

Beliau berkata, dasar berkenaan, yang akan diusahakan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersama pihak seperti syarikat telekomunikasi gergasi, akan dimulakan di kawasan jalan raya termasuk jalan utama.

"Kita semua mesti usaha segera, realitinya kita boleh bercakap, berkompang dan rasa bermegah dengan adanya 5G tetapi rakyat masih dambakan akses asas 4G di mana sahaja mereka berada," katanya serta menambah bahawa Internet adalah perkara asas yang penting seperti air dan elektrik.

Fahmi turut memuji kesediaan dan komitmen beberapa syarikat telekomunikasi yang bersetuju menandatangani perjanjian akses untuk pelaksanaan 5G, selain bekerjasama dalam pelaksanaan Pakej Perpaduan yang kini dikenali sebagai Pakej Rahmah untuk kurangkan kos kepada pengguna.

Pada 21 Julai lepas, Fahmi berkata, Pasukan Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G Malaysia berjaya mencapai persetujuan, berkaitan penyertaan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB) dan perjanjian akses 5G bersama DNB.

Beliau berkata, CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U-Mobile dan YTL Communications, akan memuktamadkan proses pemegangan saham dalam DNB. - Bernama