Tiga laporan polis berkaitan rosakkan bendera parti di P.Pinang

Iklan
Polis Pulau Pinang menerima tiga laporan polis berhubung kejadian merosakkan tiang dan bendera parti politik sejak 29 Julai hingga tengah malam tadi, pada PRN yang sedang berlangsung ketika ini. - Gambar hiasan

GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang menerima tiga laporan polis berhubung kejadian merosakkan tiang dan bendera parti politik sejak 29 Julai hingga tengah malam tadi, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung ketika ini.

Jurucakap Media PRN, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, SAC W. Pusphanathan berkata, ekoran itu, pihaknya membuka tiga kertas siasatan membabitkan kes yang dilaporkan masing-masing satu di daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Utara (SPU) dan Barat Daya.

Iklan
Iklan

"Setakat ini tiada tangkapan dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan mereka yang terlibat dalam tiga kejadian tersebut. Semua kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, sejak bermula tempoh kempen PRN, polis Pulau Pinang telah meluluskan 107 permit bagi mengadakan ceramah oleh parti-parti yang bertanding dan tiada permohonan permit yang ditolak setakat ini.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya menasihatkan parti-parti politik bertanding supaya memohon permit ceramah lebih awal supaya tiada masalah dari segi kelulusan dan tidak berlaku pertembungan lokasi dengan parti lain.

Pusphanathan yang juga Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pulau Pinang berkata, polis setakat ini juga tidak menerima sebarang laporan berkaitan kesalahan yang menyentuh mengenai isu agama, raja dan kaum (3R) sepanjang waktu berkempen.

Iklan

Katanya, pihaknya juga tidak menerima sebarang maklumat berkenaan wujud elemen perjudian oleh mana-mana pihak sepanjang proses PRN negeri ini namun polis memantau secara terperinci kegiatan tersebut.

"Pihak polis juga mahu terus mengingatkan parti-parti politik dan penyokong mereka atau mana-mana individu terutama supaya tidak memainkan isu 3R dan tidak melakukan sebarang provokasi, kacau ganggu atau pergaduhan yang boleh mendatangkan ketidakharmonian dan kesejahteraan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, polis akan mengambil tindakan tegas terrhadap mana-mana parti politik atau individu yang dikesan melakukan kesalahan ini tanpa mengira status mereka dan berkempenlah secara harmoni serta mematuhi peraturan-peraturan dan undang-undang pilihan raya sepanjang tempoh berkempen tersebut.

Dalam pada itu, tambahnya, polis Pulau Pinang turut mewujudkan 50 kumpulan cantas atau pemantau dengan kekuatan seramai 44 pegawai dan 195 anggota bagi memastikan ketenteraman awam terkawal sepanjang tempoh berkempen PRN kali ini. - Bernama