SHAH ALAM - Tiga individu diupah ah long bagi melakukan ugutan terhadap peminjam wang yang gagal membuat bayaran balik di Taman Pendamar Indah, Klang Mac lalu didakwa di Mahkamah Majistret Klang esok.
Ketika kejadian, suspek bukan sekadar bertindak menyimbah cat pada kereta individu yang disasarkan sebagai ugutan agar membayar balik hutang sebaliknya turut menyimbah cat pada kereta dan pagar rumah jiran-jiran mangsa.
Akibatnya, sebanyak 14 rumah dan 18 kereta disimbah cat yang mana mereka yang tidak berhutang dengan ah long juga terkena tempias ugutan tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, suspek ditahan di Johor pada 21 Mac lalu, terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 27 hingga 29 tahun.
Menurutnya, suspek diupah ah long untuk memberi amaran dan ancaman kepada peminjamnya yang gagal membayar hutang mengikut waktu yang ditetapkan.
"Namun dalam insiden itu, suspek telah menyimbah cat di semua rumah dalam kawasan kejiranan peminjam wang itu.
"Suspek juga didapati terlibat dengan kes membakar rumah di Damansara pada Mac lalu.
"Suspek yang disiasat di bawah Seksyen 5(2) Pemberi Pinjam Wang Tanpa Lesen dan Seksyen 29 Akta Pemberi Pinjam Wang Tanpa Lesen akan didakwa esok di Mahkamah Majistret Klang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Fazlisyam berkata, berdasarkan siasatan polis, suspek menerima upah sekitar RM600 hingga RM1,000 bagi setiap kerja yang dibuat.
"Kerja mengugut seperti simbah cat, upah suspek sekitar RM600 dan boleh menjangkau kepada RM1,000 apabila melibatkan ugutan berbentuk membakar kereta dan sebagainya.
"Polis juga ada mengesyaki suspek ini ada kaitan dengan kumpulan gengster," katanya.