ISKANDAR PUTERI - Polis Johor menggempur makmal dadah di sebuah premis kilang di sini dan merampas sejumlah dadah jenis ketamin bernilai lebih RM2 juta, Selasa lepas.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis turut menahan empat lelaki termasuk seorang warga asing dalam operasi khas bermula pukul 7.30 malam hingga 12 tengah malam Rabu itu, yang melibatkan dua serbuan.
Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai menjadikan kilang disewa itu sebagai tempat memproses dadah dan aktif sejak April lepas.
"Kita turut merampas 4.63 kilogram ketamin dan 166 liter cecair ketamin yang keseluruhannya bernilai lebih RM2.133 juta dalam serbuan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini, pada Isnin.
Selain perkakas dan mesin memproses dadah, Kamarul Zaman berkata, polis turut merampas dua kereta, sebuah lori, dua jam tangan dan wang tunai dalam serbuan itu, dan jumlah kesemuanya dianggarkan bernilai RM321,700.
Beliau berkata, dua daripada yang ditahan didapati positif dadah jenis ketamin, manakala dua lagi didapati mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, dan polis akan memohon supaya reman kesemua mereka yang tamat tempoh hari ini, disambung.
Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, polis sedang mencari tiga lagi lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan dalam kes itu, yang terdiri daripada T Prakash, 33, dengan alamat terakhir di Taman Mount Austin, Johor Bahru; Mohamad Basir Nahupicher, 32, alamat terakhir Taman Plentong Baru, Masai; dan S Steven, 48, alamat terakhir di Jalan Rimba 47, Bandar Seri Alam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama