Tutup kedai ketika tarawih: Arahan wajib ditukar kepada galakan

Iklan
Dr Izani Husin

KOTA BHARU - Kerajaan negeri menarik balik arahan sekiranya ada pihak berkuasa tempatan (PBT) meminta semua peniaga menutup kedai makan bermula jam 8.30 hingga 10 malam, sepanjang Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, arahan asal supaya ‘mewajibkan’ semua pengusaha makanan dan restoran menghentikan sementara operasi juga akan ditukar kepada ‘menggalakkan’ supaya mereka akur dengan saranan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, surat yang tular itu bukan berbentuk arahan rasmi sebaliknya pemberitahuan yang mana dituju kepada PBT tapi malangnya netizen terlebih dahulu memberikan reaksi.

"Sepatutnya surat itu untuk saya, untuk PBT, maka sayalah yang kena fikir kaedah pelaksanaannya.

Iklan

"Malah peniaga belum menerima sebarang notis, maka tiada isu yang perlu diperbesarkan,” katanya pada sidang akhbar Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

Izani yang pertama kali mengulas isu ini selepas ia tular sejak kelmarin berkata, pihaknya perlu mengambil masa untuk meneliti perkara tersebut dan melihat dari segi pelaksanaannya mengikut undang-undang.

Iklan

Jika difikirkan semula beliau berkata, saranan itu hampir sama dengan arahan Kerajaan Persekutuan berhubung larangan merokok di kedai makan.

"Ia larangan yang baik tetapi sesuatu perubahan yang ingin dilakukan dalam masyarakat biarpun ke arah perkara positif, agak sukar diterima.

"Kita (kerajaan negeri) perlu bersabar dalam menerima kecaman dan teguran. Buat masa ini, kami akan mengarahkan PBT memberi notis galakan kepada peniaga terlebih dahulu dan bukan berbentuk arahan,” katanya hari ini.

Kelmarin, surat arahan dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kepada PBT tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp kerana mengarahkan premis makanan menutup sementara kedai makan bermula jam 8.30 hingga 10.00 malam bagi menghormati Ramadan dan menggalakkan umat Islam menunaikan solat tarawih.

Ia mengundang pelbagai reaksi netizen kerana menganggap ia menutup periuk nasi peniaga kerana kebanyakan pelanggan mengunjungi kedai makan ketika waktu puncak tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu tutup sementara, boleh berniaga seperti biasa