SUNGAI PETANI - Kematian bapanya beberapa hari lepas tidak menjejaskan kempen calon Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sidam dari Pakatan Harapan (PH), Bau Wong Bau Ek.
Beliau berkata, walaupun kehilangan bapanya, namun menghormati jentera parti yang telah bersiap sedia menyusun jadual kempen bagi membantunya mempertahankan kerusi tradisi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
"Saya tidak boleh batalkan sebab kita kena hormat usaha yang telah dilakukan mereka,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni peniaga di Pasar Besar Sungai Petani di sini pada Isnin.
Bapanya, Bau Ek Endin Soon, 87, meninggal dunia pada 29 Julai akibat penyakit kayap dan demam campak.
Bau Wong berkata, sepanjang beberapa hari berkempen, sambutan yang diterimanya setakat ini sangat baik.
Walaupun DUN Sidam boleh dianggap sebagai kubu kuat PKR, namun Bau Wong berkata, beliau tidak boleh terlampau selesa dan akan terus berjumpa dengan seberapa ramai pengundi untuk mendengar keluh-kesah mereka.
"Mempertahankan itu lebih susah daripada nak mendapatkan kemenangan. Memang ada tekanan sedikit tetapi dengan jentera kita dan persiapan kita sudah buat, saya rasa kita boleh buat yang terbaik (pada hari pengundian),” katanya.
Beliau berkata, beberapa aduan telah diterima berhubung masalah dihadapi penduduk di kawasan berkenaan dan merasakan perkara berkenaan boleh diselesaikan jika diberi mandat sebagai wakil rakyat pada PRN ini.
"Antara masalah yang dikongsi adalah masalah infrastruktur mereka seperti jalan dan longkang. Aduan yang diberi itu saya rasa munasabah untuk diselesaikan,” katanya.
Pada pilihan raya lepas, wakil PH, Robert Ling Kui Ee memenangi kerusi DUN Sidam dengan majoriti 10,860 undi, menewaskan tiga calon lain iaitu Nur Hidayah Foo Abdullah (PAS), Tan Kok Seong (BN) dan Mohd Hashim Saaludin (PRM). - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Calon Sidam terkilan tak sempat maklum mendiang bapa
Bapa calon Sidam meninggal dunia