JOHOR BAHRU - PKR Johor menyatakan sokongan penuh terhadap Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal sekiranya ADUN Bukit Kepong itu dilantik menjadi pemangku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri.
Pengerusinya, Hassan Abdul Karim berkata, saranan itu sebagai langkah membantu kelancaran urus tadbir PH negeri di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini mempunyai pelbagai tugas lain di peringkat persekutuan.
"PKR Johor memahami keadaan Tan Sri Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu, Pengerusi PH negeri malah turut menjalankan tugas sebagai seorang Menteri Kanan kepada kerajaan.
"Jadi sekiranya ada usaha untuk pelantikan pemangku buat dirinya dalam PH negeri, PKR bersedia mencadangkan Menteri Besar Johor (Sahruddin) untuk mengisi jawatan tersebut.
"Dengan cara ini juga, mesyuarat parti akan dapat diteruskan tanpa sebarang halangan selain keputusan boleh diambil walaupun Muhyiddin sibuk dan tidak dapat mempengerusikan mesyuarat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Mengulas mengenai pelbagai khabar angin krisis dalaman pentadbiran Bersatu Johor, Hassan berkata, sekiranya perkara itu benar berlaku, ia harus diselesaikan dengan segera.
"Kalau betul ada, saya harap ia diselesaikan dengan segera. Sekarang ini pentadbiran negeri memerlukan komitmen semua pihak. Kita tidak mahu perkara ini berpanjangan sehingga rakyat mulai muak, dan kecewa dengan kerajaan sekarang.
"Untuk masalah Bersatu, kami di PKR Johor tidak boleh mengulas lebih, itu isu mereka, cuma sebagai rakan komponen parti, kami berharap ia diselesaikan, cukuplah berpolitik, mulakan kerja," katanya.
Sebelum ini, terdapat desas desus mengatakan berlakunya gerakan dalaman terdiri daripada pemimpin Bersatu Johor yang akan membuat bantahan kerana tidak bersetuju dengan pelantikan ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang sebagai Pengerusi Bersatu negeri baharu.
Bekas Exco Kerajaan Johor itu bakal memulakan tugas pada 25 Mei ini yang mana difahamkan sudah mempunyai beberapa cadangan untuk hala tuju parti termasuk membuat rombakan jawatankuasa pimpinan.
ARTIKEL BERKAITAN: Mazlan buat rombakan kecil Bersatu Johor
Mazlan bakal memulakan tugas pada 25 Mei ini yang mana difahamkan sudah mempunyai beberapa cadangan untuk hala tuju parti termasuk membuat rombakan jawatankuasa pimpinan.
Rombakan yang ingin dibuat itu hanya melibatkan kekosongan jawatan yang ditinggalkan beberapa pemimpin parti itu.
"Ada rombakan... sedikit sahaja, sebab kebetulan ada kekosongan.
"Macam saya dulu, sebagai bendahari jadi Pengerusi, jadi adalah kekosongan, tapi rombakan kecil... bukan drastik.
"Untuk jawatan Timbalan Pengerusi hanya akan dipilih oleh Presiden, tidak boleh diubah, yang boleh cuma Setiausaha dengan Bendahari sahaja... saya akan bincang dalam mesyuarat, semuanya biarlah mengikut majoriti, sebab keharmonian dalam parti kita kena jaga," katanya.