PM mahu sistem perolehan aset tentera dirombak

Iklan
Anwar beramah mesra bersama veteran ATM pada Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM di Wisma Perwira ATM pada Isnin. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sistem perolehan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dirombak bagi memastikan tiada lagi pihak luar akan dapat mengaut komisen yang keterlaluan daripada proses perolehan aset.

Beliau berkata, rombakan itu harus dibuat kerana kesiapsiagaan kelengkapan aset pertahanan negara seperti kapal, pesawat dan kereta kebal tidak selaras dan sejajar dengan pertumbuhan ekonomi serta kedudukan geopolitik dan strategik Malaysia.

Iklan
Iklan

"Mengapa saya pilih sebut perkara ini kepada saudara sekalian kerana bagi veteran, bagi pasukan tentera dan tentunya bagi kita semua rakyat, kesiapsiagaan negara dalam bidang pertahanan itu adalah urusan yang penting.

"Jadi kita anjurkan (sarankan) kepada pimpinan tentera bahawa sistem perolahan mesti dirombak, tidak boleh lagi campur tangan daripada pihak luar.

Iklan

"Ketua-ketua turus dipertanggungjawabkan untuk memilih kapal perang, pesawat, kereta kebal dan kelengkapan lain yang terbaik dan tidak lagi mengulangi kerenah, merompak melalui komisen keterlaluan sehingga kelengkapan kita ini kurang keupayaan untuk medan pertahanan yang mantap,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira ATM, di sini pada Isnin.

Iklan

Perdana Menteri berkata, dalam menjaga kestabilan dan keamanan negara, keupayaan aset pertahanan adalah satu perkara yang tidak boleh dimungkiri (dipandang remeh), walaupun beliau pasti ada pihak yang akan meremehkan usaha kerajaan menambah peruntukan perbelanjaan bagi memperkasakan keupayaan ATM.

"Saya ingin beritahu di sini, tanggungjawab kita ialah untuk memberikan satu gambaran dan dasar serta menetapkan dasar agar keupayaan keselamatan dan pasukan pertahanan negara lengkap dan mantap.

"Jadi hentikan cara dan amalan lama. Saya tidak peduli walaupun kita disanggah (dilawan) di luar kerana kita bicara (bertegas) tentang soal tatakelola rasuah dan komisen berlebihan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, dalam pada pasukan tentera dan badan berkuasa lain bertungkus lumus menjaga keselamatan negara, adalah wajar juga untuk kemudahan asas dan kebajikan golongan berkenaan ditambah baik bagi menghargai pengorbanan yang dilakukan.

Oleh itu, sebagai Menteri Kewangan, Anwar memaklumkan beliau telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta tahun ini untuk menaik taraf kelengkapan dan rumah daif pasukan tentera, serta RM40 juta untuk perumahan polis termasuk di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

"Kalau tidak, kita minta mereka mempertahankan negara tetapi kita masih dengar kemudahan-kemudahan asas yang tidak lengkap," kata beliau pada majlis itu yang turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan. - Bernama