KKM laksana pemindahan tisu pertama di Hospital Jempol

Iklan
Hospital Jempol berjaya melaksanakan proses pendermaan tisu pertama yang membabitkan sepasang kornea mata pada 17 Julai lepas. - Foto Facebook

SEREMBAN - Hospital Jempol di sini telah melakar sejarah tersendiri apabila berjaya melaksanakan proses pendermaan tisu pertama yang membabitkan sepasang kornea mata pada 17 Julai lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, penderma tisu berkenaan ialah mendiang N Mathialagan, 61, yang telah diberikan kebenaran oleh waris dan ahli keluarganya untuk mendermakan kornea mata.

Iklan
Iklan

"Kedua-dua kornea mata yang diperoleh telah dihantar ke Bank Tisu Kornea di Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk dipindahkan kepada pesakit lain.

"Kementerian Kesihatan Malaysia merakamkan ucapan takziah serta setinggi-tinggi penghargaan kepada keluarga penderma atas kesediaan memberikan kebenaran untuk menjalankan pendermaan tisu berkenaan, yang kemudian akan memberi sinar harapan kepada penerima yang memerlukan,” menurutnya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, ini merupakan pendermaan organ atau tisu kadaverik yang kelima untuk hospital di bawah Kluster Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah sejak 2008.

Dr Muhammad Radzi juga berharap pengorbanan murni seumpama itu dapat dicontohi dan diikuti lebih ramai rakyat Malaysia dalam usaha membantu serta menyelamatkan nyawa terutama pesakit yang mengalami kegagalan organ tahap akhir.

Iklan

"Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pendermaan organ, orang ramai boleh melayari laman sesawang Pusat Sumber Transplan Nasional di www.dermaorgan.gov.my.,” katanya. - Bernama