SHAH ALAM - Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) telah mengarahkan pihak peguam mengambil prosedur tindakan undang-undang terhadap pihak menyebarkan tohmahan dan fitnah yang diulang siar mengenai projek inisiatif Gerbang Maritim Selangor (SMG).
LLSB dalam kenyataannya memaklumkan, notis pemula akan dikemukakan dalam tempoh tujuh hari daripada kenyataan media itu dikeluarkan.
Menurut kenyataan itu, tohmahan serta fitnah yang dilemparkan melalui Facebook dan YouTube baru-baru ini jelas usaha pihak tertentu yang sengaja mengulang siar isu sama berulang kali yang telah pun dijelaskan sebelum ini.
"LLSB ingin menegaskan semua kelulusan untuk projek-projek yang dijalankan adalah telus dan mematuhi piawaian dengan prosedur kawalan tinggi seperti garis panduan yang telah ditetapkan oleh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut LLSB, SMG merupakan projek integrasi bersepadu pembersihan serta pembangunan sungai untuk mencipta nilai dan meningkatkan peluang sosioekonomi di sepanjang 56 kilometer jajaran Sungai Klang.
LLSB memberitahu, SMG adalah satu projek jangka panjang yang sangat penting khususnya untuk pembangunan perumahan rakyat serta keterjaminan sumber bekalan air bagi rakyat Selangor pada masa depan.
Justeru, kenyataan itu menambah, segala urusan berkaitan projek SMG dipantau rapi oleh agensi-agensi berkaitan, MBI dan juga kerajaan negeri.
"Landasan Lumayan sentiasa mengamalkan 'good governance' dalam tatacara kerja serta bertanggungjawab dalam semua projek kami termasuk isu berkaitan alam sekitar.
"Pengiktirafan ini jelas telah terbukti melalui anugerah-anugerah alam sekitar di peringkat domestik dan antarabangsa yang telah diterima oleh LLSB.
"Sudah menjadi amalan LLSB untuk sentiasa menguruskan projek itu secara telus, teratur dan berintegriti bagi menepati matlamat yang telah digariskan oleh kerajaan negeri," jelas kenyataan itu.