SHAH ALAM - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melabelkan Perikatan Nasional (PN) sebagai parti 'copy paste' dan patut ditolak pengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) ini.
Amirudin berkata, perkara itu dapat dibuktikan apabila perjalanan politik parti berkenaan dilihat hanya meniru terhadap apa yang sudah ada di negara ini.
"Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) mengaku sebagai juara Melayu dan tidak lain, dan (mereka) bukan hanya cuba meniru UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetapi 'copy' bukan 'ori' sebaliknya copy gred C yang tidak layak diberikan taraf atau kelayakan mentadbir.
"Terbukti sepanjang 18 bulan mereka mentadbir di peringkat Putrajaya. PN adalah 'copy paste' kepada BN, tapi Kerajaan Perpaduan pada hari ini telah mengumpul 19 parti iaitu suara daripada seluruh pelosok Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Tawaran Kita Selangor Lima Tekad Untuk Lima Tahun Kegemilangan Negeri Selangor dan sesi pengenalan calon-calon Perpaduan Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini, pada Isnin malam.
Hadir sama, Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir Izham Hashim dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, Kerajaan Perpaduan pada hari ini juga adalah parti yang berlandaskan pelbagai kaum termasuk dari Sabah dan Sarawak berbanding PN diwakili parti tiruan.
Malah beliau percaya PN akan cuba menjadi peniru dan meniru apa yang dilakukan di Selangor.
"Rakyat Selangor pilihlah yang ori, buang yang palsu. Yang ori adalah juara dan tekad perpaduan di dalam negeri ini," katanya.