JEMPOL - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan akan berjumpa dengan kepimpinan MIC bagi membincangkan salah faham yang berlaku.
Beliau berkata, setiap parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan begitu juga dengan MIC adalah satu pasukan.
"Saya akan berjumpa dengan Presiden MIC dan semua ketua MIC di seluruh negara supaya mereka tidak salah faham.
"Kita sebagai satu pasukan. Dalam DAP ada kaum India, dalam PKR pun ada ramai kaum India, begitu juga dengan MIC manakala dalam UMNO ramai Melayu, PKR pun," katanya ketika memberi ceramah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang di sini pada Isnin.
Justeru, katanya, fokus utama semua pihak ketika ini adalah memikirkan untuk menyelamatkan negara dan pada masa sama memastikan kemenangan dapat dicapai pada pilihan raya negeri ini.
Sebelum ini sebuah portal mendedahkan satu pertemuan telah diatur oleh MIC dengan Anwar susulan dakwaan 'layanan buruk' UMNO terhadap MIC.
Sumber MIC yang enggan dikenali berkata, parti itu tidak berpuas hati dengan cara mereka dilayan UMNO dan rakan Barisan Nasional, semasa rundingan kerusi untuk pilihan raya DUN di enam negeri.
Sementara itu, Anwar turut meminta masyarakat India tidak merugikan undi mereka dengan memilih parti yang tidak sepatutnya.
Tambahnya, jika ada satu atau dua perkara yang tidak memuaskan hati ia akan dapat diselesaikan.
"Jangan bagi ruang kepada orang (pemimpin) yang mencucuk meminta gaduh antara kita. Jangan bagi ruang kepada tokoh politik yang terdesak kata...ini Melayu...kemain.
"Masa kamu perintah dulu, projek Jana Wibawa untuk orang Melayu pun kamu bagi pada Cina. Tapi bila pergi kampung, cakap soal Melayu," katanya