PELAKON MeiFen menjelaskan hasratnya yang mahu mengundurkan diri dari dunia seni sebelum ini, bukan disebabkan merajuk atau kecewa kerana kurang mendapat tawaran berlakon.
Sebaliknya ia lebih kepada memenuhi keinginan kedua ibu bapanya yang mahu melihatnya mempunyai perkerjaan yang lebih stabil dan terjamin."Kalau ikutkan minat, saya hanya mahu buat kerja berkaitan industri seni sahaja.
Tapi untuk tidak buat ibu bapa terus bimbang dan fikir tentang masa depan, saya cuba berhenti berlakon dan cari kerja lain."Memang saya akui agak struggle untuk bergelar pelakon dalam keadaan industri sekarang.
Minat sahaja tak cukup untuk menampung kehidupan, jadi kita kena realistik dengan apa yang kita buat,” ujarnya.'
Bagaimanapun, selepas pulang daripada menghadiri Udine Far East Film Festival yang berlangsung di Itali pada April lalu, MeiFen mendapat semangat baru dan kembali positif untuk terus menyumbang kepada industri seni tanah air.
"Selepas pulang dari Udine Far East Film Festival, saya batalkan hasrat untuk berhenti berlakon dan bina semula semangat untuk kerja lebih keras dan lakukan sesuatu untuk industri.
"Nampaknya selepas ini saya kena pujuk balik ibu bapa dan yakinkan mereka dengan apa yang saya buat ini.
"Mungkin dalam masa yang sama, saya akan lakukan kerja yang mereka inginkan secara sambilan, selain kerja sepenuh masa dalam bidang seni,” kata MeiFen.
Dalam perkembangan lain, MeiFen bakal muncul dalam filem terbaharu lakonannya, Prebet Sapu, menyaksikan gandingannya bersama Amerul Affendi, yang akan menemui penonton pada Julai depan.
"Hidup ini sebenarnya penuh dengan kejutan. Ketika saya hampir berputus asa dan mahu mengundurkan diri dalam bidang lakonan, tiba-tiba banyak peluang yang datang secara tiba-tiba.
"Bukan sahaja dapat pergi ke festival filem luar negara buat pertama kali, tetapi juga dapat beberapa tawaran berlakon selepas pulang dari sana.
"Ketika ini saya sedang sibuk dengan kerja belakang tabir sebagai penerbit untuk pementasan teater Cina.
Selepas itu, saya akan terlibat dengan penggambaran musim terbaru drama Mok Cun, selain terlibat dengan kerja produksi sebuah filem luar yang akan menjalani penggambaran di Malaysia tidak lama lagi,” ujar MeiFen kepada Sinar Harian.