SHAH ALAM - Tindakan melarang operasi kedai makan atau restoran ketika waktu solat tarawih dilihat sebagai tindakan yang tidak wajar, demikian kata Pengerusi Koperasi Kariah-kariah Masjid Selangor Berhad Yasim Mohamed.
Beliau berkata, tindakan tersebut seharusnya dikaji dan diteliti terlebih dahulu.
"Jika kita melihat dari sudut agama, tiada paksaan untuk umat Islam menunaikan solat terawih di masjid, ia bukan wajib, dan dapat dilakukan di rumah.
"Daripada sudut pandang yang lain pula, orang yang berniaga kedai makan misalnya, mereka berniaga untuk mencari rezeki, menyara keluarga, mencukupkan keperluan keluarga dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Katanya, apa yang menjadi kedangkalan akan peraturan ini adalah ia memberi kesan kepada peniaga kedai makan.
"Kebanyakan peniaga kedai makan, kita lihat yang berniaga kecil-kecilan, pastinya akan terjejas, kalau siang pun berniaga tidak lama, hanya beberapa jam saja, tidak semua berniaga siang, ramai yang ambil peluang berniaga malam.
"Jika diberi arahan penutupan ini, peniaga ini akan hilang pendapatan, siang hari mereka tidak dapat berniaga, malam mereka hendak mencari rezeki, tetapi apabila keluar arahan macam ini, akan jejaskan pendapatan mereka," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Gerai makan, restoran tutup sementara waktu tarawih
Terdahulu, Kerajaan Kelantan mengarahkan penutupan sementara gerai makan dan restoran pada jam 8.30 hingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan ini.
Langkah tersebut adalah untuk memastikan semua pihak dapat menghormati bulan Ramadan dan menggalakkan umat Islam menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah di masjid dan surau.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhamad ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan perkara tersebut dan arahan itu dikatakan berkuat kuasa serta-merta.
ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu tutup sementara, boleh berniaga seperti biasa
Susulan itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, peniaga premis makanan di Kelantan dibenarkan beroperasi seperti biasa tanpa perlu menutup sementara bermula jam 8.30 hingga 10 malam sepanjang Ramadan.
Beliau berkata, setakat ini tiada arahan rasmi dikeluarkan kepada peniaga supaya menutup atau menghentikan sementara operasi ketika solat terawih.
Menurutnya, saranan itu pada asalnya dikeluarkan oleh pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan ia belum sampai ke peringkat bawahan (peniaga).
"Peniaga boleh membuka premis seperti biasa kerana arahan ini baharu di peringkat pentadbiran.
"Kerajaan Kelantan menghormati pandangan, tetapi kita harap semua pihak melihat isu ini daripada sudut positif,” katanya.
Langkah tersebut adalah untuk memastikan semua pihak dapat menghormati bulan Ramadan dan menggalakkan umat Islam menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah di masjid dan surau.