43 peserta ladang getah Orang Asli tuntut bayaran dividen

Iklan
Peserta ladang getah Orang Asli Suku Kensui di Kampung Lubuk Legong, Baling kecewa kerana tidak menerima dividen getah yang tertunggak sejak setahun lalu daripada sebuah syarikat pengurusan ladang. (Gambar kecil: Mohd Taufik)

BALING - Seramai 43 peserta ladang getah Orang Asli Suku Kensui di Kampung Lubuk Legong di sini, kecewa kerana tidak menerima dividen getah yang tertunggak sejak setahun lalu daripada sebuah syarikat pengurusan yang menguruskan ladang berkenaan.

Tok Batin, Razali Kulim berkata, berdasarkan perjanjian dengan syarikat tersebut, mereka yang merupakan peserta ladang getah tersebut menerima dividen sebanyak RM300 sejak tahun 2012.

Iklan
Iklan

Menurutnya, satu pertemuan telah dibuat di Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Grik, Perak bersama wakil peserta dan pihak syarikat membincangkan mengenai perkara tersebut namun tiada jalan penyelesaian ditemui.

"Sebelum ini kami menerima wang tunai RM150 dan barangan dapur bernilai RM150 namun bila tidak dibayar ia menjejaskan perbelanjaan keluarga peserta.

Iklan

"Majoriti peserta melakukan kerja-kerja kampung, cari rotan, hasil hutan dan menebas. Pendapatan tak menentu dan hasil ladang dapat bantu tampung perbelanjaan rumah," katanya pada sidang akhbar di perkampungan Orang Asli di sini, petang Isnin.

Razali mendakwa, hasil getah di ladang tersebut masih dikeluarkan oleh syarikat tersebut namun mereka masih mendiamkan diri selain tidak melunaskan bayaran dividen yang tertunggak.

Iklan

Razali menunjukkan laporan polis kedua yang dibuat oleh penduduk Orang Asli pada Isnin.


Tambahnya, laporan polis kedua dibuat di Balai Polis Baling pada Isnin selepas laporan polis pertama dibuat pada 3 Mei lalu.

Sementara itu, Pengarah Bayu Rimba Enterprise, Mohd Taufik Yaacob menjelaskan, pihaknya mengambil alih pengurusan ladang getah terbabit selepas terbiar pada 2010.

Menurutnya, Tok Batin telah berjumpa dengannya memohon agar membantu menguruskan ladang tersebut dan telah melabur sebanyak RM1.7 juta membangunkan tanah Orang Asli bagi fasa satu dan fasa dua.

"Syarikat saya dilantik oleh Jakoa dan ada perjanjian antara syarikat dan peserta Orang Asli. Antara terma perjanjian ialah berkenaan bayaran dividen dan ia tertakluk kepada produktiviti ladang dan harga pasaran semasa.

"Kira-kira RM700,000 dividen telah dibayar kepada peserta sebab masa itu harga getah tinggi lagi, jadi saya berusaha untuk membayar dividen kepada mereka.

"Selepas dilanda Covid-19, pengurusan ladang terhenti, kilang tak buka, pekerja tak keluar menoreh, tiada produktiviti tetapi saya bayar juga atas ihsan saya," katanya yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu.

Tambahnya, beliau hairan mengapa perkara tersebut timbul sewaktu tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sedang berjalan.

"Isu ini dibuat sewaktu pilihan raya, dan saya bertanding kerusi Dewan DUN Bayu.

"Saya mengeluarkan modal, saya bukan ambil projek, bukan untuk kepentingan diri," katanya lagi.