ALOR SETAR - Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas kawasan Langkawi, Safwan Hanif Shafie bertanding sebagai calon bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat sebagai protes terhadap calon luar ditampilkan Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana majoriti penduduk Langkawi mahukan calon anak tempatan diketengahkan sebagai wakil rakyat.
Menurutnya, tindakan itu didorong atas penolakan terhadap calon, dan bukannya parti selain menegaskan akan memberi sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekiranya menang di kerusi terbabit.
"Saya tak mahu melihat kepada kepartian sangat, faktornya lebih kepada calon itu sendiri kerana calon PN yang ditampilkan adalah orang luar, kami tidak pernah berjumpa atau berhubung dan beliau tak pernah ada di Langkawi selama ini. Jadi kami protes sebab calon, bukan parti,” katanya di sini pada Selasa.
PN menampilkan Shamsilah Siru yang merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Ketua Srikandi Bersatu Kedah untuk merebut kerusi DUN Ayer Hangat pada 12 Ogos depan.
Kerusi tersebut turut ditandingi Ketua Wanita UMNO Langkawi, Hisham Suhaily Othman dan seorang lagi calon bebas, Zulfadli Mohd Yusoff.
Safwan memaklumkan, pendiriannya itu turut didorong untuk menyatupadukan orang Langkawi susulan kecelaruan politik masa kini yang didakwa membawa kepada perpecahan masyarakat.
"Alhamdulillah setakat ini, momentum untuk berikan sokongan kepada saya meningkat. Tahap penerimaan sama ada orang UMNO, Bersatu atau Pas nampak positif dah boleh terima saya sebab mereka mahukan calon yang berasal dari Langkawi.
"Sebab itu saya nekad lepaskan jawatan sebagai AJK Pas dan hadirkan diri bertanding Bebas. Bukan mahu kucar-kacirkan PN, tetapi mahu terapkan kesepakatan sebab kecelaruan politik memberi impak kepada penduduk Langkawi,” jelasnya.
Safwan yang berasal dari Kampung Bukit Tangga, mukim Ulu Melaka menegaskan, tidak mahu situasi yang berlaku di Parlimen Langkawi berulang di DUN Ayer Hangat disebabkan wakil rakyat adalah orang luar.
"Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Suhaimi Abdullah bukan anak tempatan pulau ini. Sebelum menang PRU15, hanya datang seminggu sebelum pilihan raya. Namun gelombang PN memuncak ketika itu dan Pas berikan undi kepada beliau.
"Selepas menang beliau tidak beri komitmen sepenuhnya sebagai Ahli Parlimen. Jika tidak bersidang di Parlimen, tak tahu di mana sehinggakan kami tertanya-tanya keberadaan beliau. Saya tak mahu situasi sama berulang di DUN,” ujarnya.
Mengulas sama ada kerusi DUN Ayer Hangat bertukar tangan di saat akhir kepada calon Bersatu yang pada awalnya diuar-uarkan untuk calon Pas, Safwan mengakui terdapat konflik dalaman namun enggan mengulas lanjut.
"Mungkin ada sedikit pengkhianatan namun saya kini mahu fokus ke depan untuk jaga kebajikan penduduk Langkawi. Tak mahu lagi fikirkan parti sebab akan timbulkan salah faham,” jelasnya.