PELAKON Didie Alias menegur segelintir pelakon baharu tidak menunjukkan kesungguhan dalam kerja mereka meskipun mendapat peluang terbaik untuk berada di depan.
Menurut Didie, 51, populariti mudah yang dikecapi menerusi platform media sosial menjadikan kebanyakan mereka bersikap sambil lewa dan memandang mudah dalam banyak perkara.
"Berdasarkan pengalaman sendiri, saya banyak berdepan dengan pelakon baharu yang tidak serius dalam kerja mereka.
"Saya tidak kisah mereka datang dari platform media sosial atau dari mana, asalkan mereka ada keinginan untuk belajar dan tunjukkan kesungguhan dalam kerja.
"Namun bila mereka sambil lewa, ia memberi kesan kepada pelakon lain yang memberi sepenuh komitmen. Saya dan rakan-rakan sering berdepan situasi begini menyebabkan saya rasa perlu menegur mereka,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Tambah Didie yang ditemui pada majlis pelancaran drama Budak Hostel Otaknya Sewel baru-baru ini, sebagai pelakon senior, dia sentiasa terbuka dan cuba membantu bakat baharu untuk sama-sama menyerlah ketika bekerja bersama dengan mereka.
"Bila berlakon dengan pelakon baharu, saya cuba bagi mereka peluang untuk menyerlah kerana selalunya mereka diberikan watak utama.
"Namun mereka tidak mengambil peluang itu dengan sebaiknya. Datang set penggambaran dengan tak buat persediaan, lakonan ‘tak sampai’, malah jarang nak bercampur gaul dengan pelakon senior untuk menimba ilmu.
"Saya sebenarnya sentiasa terbuka kalau mereka datang bertanya dan nak belajar sebab kita mahu sama-sama berikan yang terbaik. Saya tidak mahu hanya lakonan pelakon senior yang menyerlah dan menenggelamkan lakonan mereka,” katanya.
Hampir 30 tahun dalam industri, pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu mengakui bukan mudah terus kekal relevan jika tidak dengan usaha dan kesungguhan untuk memberikan yang terbaik.
"Saya sebenarnya sayang dengan bakat-bakat baharu yang ada kerana merekalah pelapis industri pada masa depan. Jadi saya kadang-kadang tegur atau beri tunjuk ajar mana yang sempat, tapi selebihnya pada diri mereka sendiri.
"Bagi saya, kalau mereka hanya suka-suka nak berlakon, tak payahlah masuk industri. Kalau betul-betul minat nak jadikan sebagai kerjaya dan sumber rezeki, buat sungguh-sungguh dan carilah ilmu.
"Saya sampai sekarang masih juga belajar, perbaiki apa yang kurang. Kalau jumpa pelakon otai, mesti nak duduk sama-sama sembang pasal lakonan atau kongsi pengalaman. Tapi pelakon-pelakon baru ini tidak begitu dan hanya suka bercampur dalam kalangan mereka sahaja,” katanya.