PRN: Warga emas 81 tahun rindu berkempen

Iklan
Jalaludin (kanan) ketika mengunjungi Haizan di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada Selasa.

HULU TERENGGANU - Seorang warga emas meluahkan keinginan dan rasa rindu untuk berkempen pada pilihan raya negeri (PRN) ini selepas kesihatannya merosot dan tidak boleh berjalan seperti biasa sejak dua tahun lalu.

Haizan Mahmud, 81, yang merupakan veteran UMNO berkata, beliau aktif dalam parti politik sejak 1960-an ketika tinggal di Rompin, Pahang.

Iklan
Iklan

"Dulu-dulu saya bergerak aktif bersama jentera UMNO. Sepanjang tempoh berkempen seperti sekarang ini saya banyak tiada di rumah.

"Hampir setiap masa saya terlibat dalam kegiatan parti. Sekarang ini sahaja saya sudah tidak dapat aktif selepas tidak boleh berjalan kerana sakit sendi lutut. Perasaan rindu itu sudah tentulah ada sebab 'jiwa' saya sudah sebati dalam UMNO," katanya.

Iklan

Haizan yang merupakan bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Hulu Terengganu ditemui pemberita selepas menerima kunjungan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, Jalaludin Ismail di kediamannya di sini pada Selasa.

Moyang kepada seorang cicit itu berkata, dia juga tidak pernah ketinggalan untuk mengundi setiap kali pilihan raya dan kali ini dia akan membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Intan di sini.

Iklan

"Kalau ikutkan sudah lebih 10 kali saya mengundi. Sebelum ini, boleh lagi gagahkan diri berjalan. Kali ini saya perlu dibantu untuk ke pusat mengundi.

Jalaludin (dua dari kini) menziarahi Azizah di Perumahan Rumah Murah Jalan Pusara di Kuala Berang pada Selasa.

"Rasa tak sabar juga untuk membuang undi dalam pilihan raya ini,"kata ibu tunggal yang mempunyai dua anak dan empat cucu itu.

Sementara itu, senada dengan Haizan, Azizah Daud, 74, berkata, perasaan rindu untuk berkempen masih hangat dirasai setelah lebih 20 tahun bergiat aktif dalam parti.

"Sekarang ini sudah masuk dua tahun saya terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda. Sebelum ini masa PRU14 lalu saya masih boleh bergerak aktif dalam program parti.

"Sekarang selain sakit sendi lutut, saya juga ada kencing manis, darah tinggi, masalah jantung dan kolesterol.

"Apa yang saya boleh lakukan untuk parti kali ini hanyalah membuang undi pada 12 Ogos nanti," katanya yang akan membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Berang.

Bekas Timbalan Pengerusi Wanita UMNO DUN Kuala Berang itu ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Jalaludin di Perumahan Rumah Murah Jalan Pusara di sini.

Pada PRN Terengganu kali ini, Jalaluddin yang mesra digelar Cikgu Jalal akan menentang penyandang kerusi DUN Kuala Berang dari Pas, Dr Mamad Puteh yang menang dengan majoriti 1,070 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Dr Mamad ketika itu berjaya meruntuhkan kubu kuat BN setelah menewaskan penyandang kerusi ketika itu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang (BN) dan Mohd Nor Othman (PKR).