KUALA LUMPUR - Kesemua Menteri Kerajaan Perpaduan perlu mengumumkan dasar dan program susulan kepada konsep Ekonomi Madani setiap hari.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana rangka kerja ekonomi itu akan dijadikan asas kepada beberapa dasar khusus lain yang dijadualkan diumumkan dalam beberapa bulan lagi.
Menurutnya, sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli telah mengumumkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional selaras dengan Ekonomi Madani dan dalam beberapa minggu akan datang, kerajaan pula akan mengumumkan Pelan Induk Perindustrian.
"Semakan separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 akan dibuat dan pada Oktober bajet kedua Madani akan diumumkan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan (NTC) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Isnin.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Mohd Nizom Sairi dan Presiden Institut Cukai Bertauliah Malaysia (CTIM), Chow Chee Yen.
Inisiatif Ekonomi Madani menetapkan tujuh petunjuk prestasi utama sebagai sasaran jangka sederhana yang perlu dicapai dalam tempoh 10 tahun diumumkannya pada 27 Julai lalu antara lainnya mahu memperkasakan ekonomi rakyat.
Sementara Mohd Nizom berkata, bagi sistem invois elektronik atau e-invois akan dilaksanakan pada separuh pertama 2024 (1H 2024), menyamai agenda pendigitalan kerajaan.
"Sistem e-invois ini akan menyelaras dan meningkatkan sistem cukai negara dengan telus di samping memberikan penilaian risiko pematuhan yang lebih tepat,” katanya.
Tambahnya, bagi menampung kepastian cukai, LHDN telah melaksanakan Program Tadbir Urus Korporat Cukai (TCG).
"Inisiatif ini berfungsi sebagai platform untuk kedua-dua pentadbiran cukai dan pembayar cukai untuk bekerjasama secara terbuka dan jujur untuk meningkatkan hal ehwal pematuhan cukai korporat organisasi," jelasnya.