Pas dakwa UMNO akan 'makan kawan' bila berkuasa

Iklan
Tuan Ibrahim Tuan Man

SEREMBAN - Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberi amaran bahawa UMNO akan mengkhianati kawannya apabila parti itu semakin berkuasa.

Beliau memberi contoh penarikan sokongan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.

Iklan
Iklan

"UMNO dia tak boleh menang, kalau dia menang, dia naik tocang. Bila rasa kuat, dia mula tendang kawan. Di Perak dia tarik sokongan, undi tak percaya pada Peja (Ahmad Faizal) daripada Bersatu, akhirnya tukar (menteri besar) kepada UMNO.

"Di Persekutuan, tarik sokongan pada Muhyiddin Yassin, padahal kita duduk dalam Kabinet sama, bincang sama-sama. Waktu susah kita hadapi (bersama), bila senang 15 orang (ahli Parlimen) tarik sokongan pada Muhyiddin,” katanya ketika Ceramah Perdana Gelombang Nismilan Kito Ubah di Lenggeng pada Isnin.

Iklan

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, Pas menjadi satu-satunya parti yang membantu walaupun pernah mengecam UMNO.

"Bukan mudah, tuan-tuan tentu ingat bagaimana peristiwa yang berlaku di bangunan WTC (Pusat Dagangan Dunia), bukan sikit air mata kegembiraan apabila dua parti Melayu terbesar boleh duduk bersama menerusi Muafakat Nasional.

Iklan

"Sebab itu bila UMNO tewas, Pas pergi bantu, tolong kempen di PRK (pilihan raya kecil) Rantau. Saya ceramah dengan Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) sedangkan sebelum ini kita hentam UMNO, tetapi akhirnya saya beritahu semua tolong sokong UMNO,” katanya.

Sebagai rekod, Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tumbang selepas 22 bulan berkuasa.

Bagaimanapun, Muhyiddin memegang jawatan selama 17 bulan sebelum Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan dan kerajaan diterajui Perikatan Nasional (PN).