GEORGETOWN - Tindakan seorang bekas ahli DAP yang kini bertanding di kerusi Bebas menggunakan pusat khidmat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mengadakan sidang media amat dikesali.
Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang, Jason H'ng Mooi Lye berkata, lebih mengecewakan, calon tersebut didakwa telah menggunakan sumber DAP untuk menyerang dan memburukkan pemimpin dan parti berkenaan.
"Mana-mana ahli parti yang menyokong dan berkempen untuk calon-calon pihak lawan termasuk calon Bebas dianggap menjejaskan kepentingan parti.
"Mereka ini akan dikenakan tindakan tatatertib termasuk dilucutkan keahlian mereka dengan serta merta," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, tindakan beberapa individu yang membuat kenyataan tidak berasas dan menyerang pucuk pimpinan parti dianggap tidak bertanggungjawab.
"Setiap keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti bukan satu perkara muda dan ia amat penting demi masa depan Pulau Pinang. Saya kecewa dengan segala tuduhan tidak berasas yang telah dibuat terhadap parti dan pucuk pimpinan tanpa usul periksa.
"Saya juga amat kesal dengan tindakan salah seorang calon Bebas yang telah menggunakan pusat khdimat bekas ADUN dan sumber parti DAP untuk mengadakan sidang media lalu menyerang dan memburukkan pemimpin serta parti," katanya.
Tegas beliau, semua ahli DAP perlu bersatu padu dan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada parti dan kesemua calon Pakatan Harapan (PH).
"Musuh kita sedang menyerang dan mengambil kesempatan untuk melemahkan kita. Justeru kita harus bersatu dan meningkatkan usaha untuk menghadapi cabaran yang lebih genting dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
"Jangan buat sebarang tohmahan tidak berasas yang boleh memecah-belahkan parti. Saya juga meminta agar semua pemimpin parti menjauhkan diri daripada mereka yang telah berpaling tadah dan mengkhianati parti," katanya.
Menurut beliau lagi, rakyat Pulau Pinang memerlukan sebuah kerajaan yang bersatu padu, kompeten dan yang melindungi semua rakyat tanpa mengira bangsa atau agama.
"Ini bukan masa untuk kita bertelingkah sesama kita. Perjuangan ini jauh lebih besar dan penting daripada agenda peribadi mana-mana pihak.
"Oleh itu, kita harus kuatkan semangat dan bersatu padu untuk menyekat Perikatan Nasional daripada menawan Pulau Pinang," katanya.
Sebelum ini, bekas ADUN Bagan Dalam, M Satees mengumumkan keluar daripada DAP dan akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRN di kerusi yang disandangnya itu pada 12 Ogos ini.
Satees telah menghantar surat keluar DAP kepada Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke Julai lalu dan menyifatkannya keputusan paling sukar pernah diambil sejak menyertai parti itu kira-kira 15 tahun lalu.
Satees antara tujuh ADUN DAP Pulau Pinang yang yang digugurkan daripada bertanding pada PRN kali ini.
Selain Satees, bekas Ketua Cawangan DAP Batu Kawan, David Marshel turut mengumumkan keluar daripada parti itu dan mengumumkan akan bertanding kerusi Perai sebagai calon Bebas.
Tindakan itu dibuat bukan atas kepentingan diri selepas bersama parti itu selama 15 tahun, sebaliknya mendakwa mahu menyelamatkan DAP daripada kepimpinan Pengerusinya, Lim Guan Eng, selain mahu menyokong Ahli Parlimen Batu Kawan, Chow Kon Yeow kekal sebagai Ketua Menteri negeri itu.