KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan meneruskan kerjasama dengan Bank Negara Malaysia bagi memperkasa sistem pembayaran tanpa tunai dalam kalangan rakyat termasuk peniaga di negeri itu.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata, usaha tersebut antaranya pembangunan aplikasi pembayaran elektronik, Kelantan Pay sejak 2019 yang bertujuan menyokong pertumbuhan ekonomi dan menambah baik ekosistem industri digital.
Menurut beliau, aplikasi itu juga dinaik taraf dengan dilengkapi fungsi e-wallet yang menyediakan perkhidmatan tambah nilai dan pembayaran pelbagai perkhidmatan kerajaan serta swasta.
"E-wallet ialah salah satu inisiatif terbaharu kerajaan negeri bagi menggalakkan peniaga dan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana menggunakan platform digital untuk urusan perniagaan.
"Bagi memperkasakan lagi rakyat tanpa tunai di negeri ini, kerjasama kerajaan negeri dengan Bank Negara Malaysia dan Pay Net akan diteruskan melalui program-program dan kempen-kempen di Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat Kelantan dan Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd,” katanya selepas Majlis Pelancaran E-Wallet Kelantan Pay di sini pada Selasa.
Beliau turut menyampaikan alat pembayaran elektronik kepada Penolong Kanan Pentadbiran Maahad Sains Tok Guru, Muhammad Aznan Che Will@Ismail dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Penyelidikan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Dr Mohamad Ramizu Abdullah@Zakaria:
Ahmad berkata, sementara itu, kempen melalui Program Go Digital di bawah Plan Induk Ekonomi Digital Negeri Kelantan juga akan diteruskan pada tahun ini untuk meningkatkan kesedaran kepada rakyat untuk beralih ke transaksi urus niaga tanpa tunai.
Ujarnya, melalui perlaksanaan OnBoarding DuitNow di bawah program itu, sebanyak 921 daripada 1,985 peniaga dari 12 lokasi di pasar di seluruh Kelantan beralih ke kaedah pembayaran tanpa tunai
"Pencapaian 51.5 peratus melebihi sasaran yang 40 peratus yang ditetapkan itu adalah satu perkembangan yang baik.
"Program akan dilaksanakan di dua lagi daerah itu Gua Musang dan Jeli selain diperluaskan di sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan demgan permulaan 10 sekolah iaitu pertama Maahad Sains Tok Guru Pengkalan Chepa,” kata Ahmad.