Saksi pesan pada Mazlina, tidak guna cek yayasan untuk bil Zahid

Iklan
Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Saksi pembelaan ketujuh memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa setiap kali menerima penyata kad kredit Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau akan meneliti sama ada akan melunaskan bayaran bil menggunakan cek peribadi Timbalan Perdana Menteri itu atau cek milik Yayasan Akalbudi.

Iklan
Iklan

Saksi ketujuh, bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, Datuk Rosiah Osman berkata demikian ketika prosiding kes membabitkan Ahmad Zahid di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

Rosiah, 71, berkata, cek milik yayasan daripada Affin Bank hanya digunakan untuk perbelanjaan kebajikan antaranya membeli pendingin hawa, kipas dan permaidani.

Iklan

Bil kegunaan harian Ahli Parlimen Bagan Datuk itu pula katanya, akan menggunakan cek Maybank peribadinya seperti pembayaran kad telefon, elektrik, kereta, cukai jalan dan insurans.

"Cek yayasan hanya akan digunakan untuk membayar bil kad kredit peribadi Ahmad Zahid sekiranya ia digunakan untuk membeli barang kelengkapan untuk disumbangkan kepada masjid,” katanya ketika menjawab soalan peguam, Hamidi Mohd Noh.

Iklan

Beliau yang menjawat jawatan Setiausaha Eksekutif bermula tahun 1994 sehingga 2011 berkata, beliau pernah berpesan kepada bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly supaya tidak mencampur adukkan bayaran peribadi dengan hal-hal kebajikan menggunakan cek yayasan.

Hamidi: Bila Datuk serah tugas kepada Mazlina?

Rosiah: Disember 2011.

Hamidi: Selepas serah tugas, Datuk ada apa-apa pengetahuan mengenai kewangan Datuk Ahmad Zahid?

Rosiah: Tiada.

Hamidi: Kenapa tiada?

Rosiah: Mazlina tak pernah berurusan dengan saya atau bertanya mengenai kerja, saya pernah hubunginya tapi dia susah nak angkat telefon.

Hamidi: Ada tak dia rujuk mengenai pembayaran kad kredit?

Rosiah: Tiada, dia tak pernah tanya walau sekalipun.

Ketika dirujuk kepada penyata kad kredit, saksi ini berkata, Mazlina membuat banyak kesalahan antaranya pembayaran secara berlebihan menggunakan cek yayasan untuk kegunaan peribadi Ahmad Zahid.

Bukan itu sahaja, Rosiah berkata, cop tanda tangan yang sepatutnya digunakan untuk kad perayaan, penghargaan dan sijil tidak sepatutnya digunakan dalam pengeluaran cek.

Beliau kemudiannya bersetuju dengan cadangan Hamidi, bahawa sepanjang perkhidmatannya, Ahmad Zahid tidak pernah memberikan arahan untuk menggunakan cop tandatangan berkenaan bagi cek.

Sementara itu, dalam prosiding pada sebelah pagi, saksi pembelaan keenam, Pegawai Tugas-tugas Khas Ahmad Zahid, Datuk Mohd Kamal Abdullah, 66, berkata, Mazlina yang menggantikan tugas Rosiah didapati cuai dalam menjalankan tugas.

Semasa sesi pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki saksi ini berkata, Mazlina telah menggunakan cek yayasan untuk membayar bil kad kredit Ahmad Zahid dan isterinya, menggunakan cop tandatangan Presiden UMNO ini.

"Mazlina sepatutnya guna cek peribadi Ahmad Zahid untuk bil kad kredit dan bukan cek Yayasan Akalbudi,” katanya.

Ahmad Zahid, 70, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding bersambung pada Rabu.