PEMAIN sensasi Selangor FC, Faisal Halim tidak akan mengalah dengan setiap cabaran yang sedang dihadapinya ketika ini dan berjanji akan bangkit lebih kuat.
"Setiap cabaran, membuka peluang untuk bangun dan berdiri dengan lebih teguh. Takkan pernah menyerah.
"Kini, masa untuk kembali dengan satu misi, pertahankan kebanggaan ini MKLK (merah kuning lambang kebanggaan)," katanya dalam satu ciapan di laman X miliknya pada Selasa.
Faisal tidak menyatakan secara terperinci mengenai ciapannya itu, namun ramai yang berpendapat beliau merujuk kepada penggantungan perlawanan yang sedang dihadapinya.
Sebelum ini, FAM melalui jawatankuasa Tatatertib telah menggantung Faisal selama sebulan selepas didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media).
Kenyataan itu dikeluarkan Faisal ketika sesi temu ramah media selepas perlawanan Liga Super 2023 menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 27 April lalu.
FAM menjelaskan, Faisal sebenarnya digantung selama empat bulan bermula 25 Julai hingga 21 November 2023.
Namun, tonggak Harimau Malaya itu hanya dikenakan penggantungan selama sebulan, manakala penggantungan tiga bulan seterusnya ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik selama 12 bulan bermula 24 Ogos depan.