GEORGETOWN - Bekas ahli DAP, M Satees kecewa apabila dikatakan mengkhianati parti sedangkan beliau hanya menyuarakan pendapat mengenai unsur diktator yang sedang meresapi parti berkenaan.
Calon Bebas bagi kerusi Bagan Dalam itu berkata, ahli DAP tidak menyedari bahawa mereka kini dikongkong oleh seorang maharaja yang sedang mengkhianati rakyat Pulau Pinang dan parti itu sendiri.
Menurutnya, sebelum ini beliau bersuara kerana menyedari ada seorang individu sedang menggunakan kedudukannya untuk memanipulasi parti dengan tujuan menguasai pentadbiran negeri yang jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip yang telah DAP perjuangkan selama ini.
"Ahli DAP tidak sedar mereka dikongkong oleh seorang maharaja malah ada dalam kalangan mereka, mungkin sedar namun tidak berani melawan individu tersebut.
"Tiada siapa dalam DAP berani menegur atau menghalang individu itu sebaliknya menuduh kami yang bersuara sebagai mengkhianati parti.
"Kami boleh berdiam diri dan mengharapkan habuan daripada sang maharaja tetapi kami memilih merisikokan diri dan lawan, demi Pulau Pinang dan untuk membebaskan parti dari cengkaman maharaja berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Satees berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang, Jason H'ng Mooi Lye yang meminta agar semua pemimpin parti itu menjauhkan diri daripada mereka yang telah berpaling tadah dan mengkhianati parti.
Dalam pada itu, Satees yang juga bekas ADUN Bagan Dalam berkata, majoriti pemimpin parti itu tidak berani untuk mempersoalkan atau melawan keputusan yang dibuat individu tersebut.
"Mereka (pemimpin parti) harus sedar, mereka yang sedang mengkhianati ahli-ahli parti dan rakyat Pulau Pinang kerana berdiam diri, bukannya kami. Antara contoh bagaimana maharaja itu sedang memperalatkan parti sebagai hartanya dia sendiri adalah pemilihan calon Senator dari Pulau Pinang.
"Si maharaja itu telah membawa masuk seorang anak kepada Datuk Seri yang baru menyertai DAP selama tiga bulan untuk menjadi Ahli Dewan Negara mewakili parti, sedangkan jawatankuasa negeri telah membuat keputusan yang berbeza.
"Pemilihan calon-calon PRN baru-baru ini pun, telah membelakangkan jawatankuasa negeri, yang mana seorang pemaju dibawa masuk untuk bertanding sebagai calon. Apa sumbangan mereka terhadap parti dan negeri?" katanya.
Satees berkata, setiap rakyat mempunyai hak bersuara masing-masing sekiranya merasakan berlaku perkara yang tidak betul di dalam sesebuah organisasi.
"Mereka kata DAP parti demokratik tetapi (mereka) tidak mahu orang bersuara. Ini menunjukkan unsur diktator mula meresapi parti yang memperjuangkan suara rakyat selama lima dekad.
"Saya percaya, setiap rakyat Malaysia mempunyai hak bersuara dan jika ia melanggar peraturan sesebuah organisasi, maka boleh terus diambil tindakan. Bagaimanapun, itu tidak bermaksud suara-suara tersebut dapat disenyapkan secara mutlak," katanya.
Tegas Satees, beliau tidak melawan DAP atau calon-calon Pakatan Harapan yang lain sebaliknya hanya memfokuskan untuk menyelamatkan Pulau Pinang daripada maharaja dan calon-calon kroninya.
"Ancaman Gelombang Hijau digunakan sebagai alasan untuk menakut-nakutkan pengundi bahawa mereka tiada pilihan lain sebaliknya hanya perlu memilih calon-calon pilihan si maharaja.
"Saya mengingatkan kepada Jason supaya jangan terbawa-bawa dengan desakan maharaja tersebut selain membuka satu medan tempur baru untuk kami masuk berkempen," katanya.
Sebelum ini, Satees mengumumkan keluar daripada DAP dan akan bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya negeri (PRN) di kerusi yang disandangnya itu pada 12 Ogos ini.
Satees antara tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Pulau Pinang yang yang digugurkan daripada bertanding pada PRN kali ini.
Selain Satees, bekas Ketua Cawangan DAP Batu Kawan, David Marshel turut mengumumkan keluar daripada parti itu dan mengumumkan akan bertanding kerusi Perai sebagai calon Bebas.