'Tak dak hujan tak dak ribut, tiba-tiba timbul pasal perintah injunksi'

Iklan
Sanusi. Laporan Sinar Harian.

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan permohonan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi Alor Setar diperoleh secara ex-parte (sebelah pihak).

Permohonan tersebut adalah untuk menghalang beliau mengeluarkan, mengulangi dan menerbitkan kenyataan memfitnah Perdana Menteri itu di media sosial, laman web dan mana-mana platform lain.

Iklan
Iklan

Dakwanya, perkara tersebut dimaklumkan oleh pasukan peguamnya bahawa permohonan dilakukan secara sebelah pihak dan sembunyi-sembunyi tanpa menyerahkan permohonan tersebut kepada pihak defendan.

"Tak dak hujan tak dak ribut, tiba-tiba timbul pasal perintah Injunksi. Pasukan peguam saya beritahu perintah tersebut yang diberikan ke atas saya, adalah diperoleh secara 'ex-parte'

Iklan

"Yakni, permohonannya dibuat oleh PMX secara sebelah pihak dan sembunyi-sembunyi, tanpa menyerahkan permohonan tersebut kepada defendan, mereka berhujah sebelah pihak, tanpa defendan dipanggil berhujah dan telah dibenarkan oleh mahkamah.

"Itu maksud 'ex-parte' yang diperuntukkan di bawah Aturan 29 Kaedah 1(2A) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk keadaan-keadaan tertentu sahaja," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Iklan

Jelas calon Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri Jeneri ini, permohonan dibuat pada 26 Julai lalu dan perintah diberikan empat hari selepas itu pada 30 Julai.

"Tak ada hujan tak ada ribut, tiba-tiba pokok bergoyang dan dedaun pun luruh," ujar beliau lagi.

Pada Isnin, media melaporkan Peguam Datuk S N Nair, yang mewakili Anwar berkata, Hakim Mahazan Mat Taib membenarkan permohonan 'ex-parte' yang difailkan Pengerusi Pakatan Harapan itu.

Anwar, 75, memohon perintah injunksi itu dalam kes saman difailkannya terhadap Sanusi ketika berucap dalam satu kempen pilihan raya Jelajah PN Best Tambun tahun lepas.

Menurut Nair, kes saman itu masih menunggu pendengaran pada tarikh yang akan ditentukan oleh mahkamah, namun Sanusi mengulangi kenyataan fitnah serupa berkaitan dengan perbicaraan kes jenayah membabitkan Anwar dalam dua ceramah iaitu Jelajah PN Best Negeri Sembilan pada 18 Mac lalu di Nilai, Negeri Sembilan dan Jelajah Selangor Baharu-Selayang pada 11 Julai di Selayang, Selangor.