Nilai, semak maklumat di media sosial elak tertipu - PM

Iklan
Anwar berkongsi dan menjawap pelbagai isu pada sesi dialog Temu Anwar bersama anak muda di Dewan Ibnu Khaldun, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kuantan, di sini pada Selasa.

KUANTAN - Golongan muda digesa agar sentiasa menilai dan menyemak sebarang kenyataan terutama yang disebarkan melalui media sosial supaya tidak mudah tertipu dengan maklumat tidak benar pihak tertentu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, media sosial merupakan teknologi baharu yang perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebarang kenyataan di media sosial perlu disemak dan diteliti kesahihannya kerana ada pihak menggunakan platform itu untuk penipuan dan menyebarkan berita tidak benar.

"Sebagai contoh ada kenyataan melalui media sosial ini menyebut kalau sokong parti tertentu ALLAH restu, kalau tidak sokong jadi musuh ALLAH.

Iklan

"Begitu juga tentang dakwaan kononnya saya zalim, menindas dan menganaktirikan negeri pembangkang. Kalau tidak fikir sebaiknya, ada yang anggap kenyataan itu betul, jadi timbul perasaan marah.

"Sebab itu kena semak. Jangan kerana cerita seminit kita kagum dan mudah tertipu sehingga menghukum tanpa fakta sebenar," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sesi dialog Temu Anwar bersama anak muda di Dewan Ibnu Khaldun, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kuantan di sini pada Selasa.

Anwar bersama sebahagian anak muda yang hadir pada Program Temu Anwar Kuantan bersama anak muda di Dewan Ibnu Khaldun, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kuantan, di sini pada Selasa.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh.

Kira-kira 2,000 golongan muda terutama pelajar dari pelbagai institusi pendidikan di sekitar Kuantan hadir pada program yang bermula jam 2 petang itu.

Anwar berkata, media sosial sangat penting dan pada masa sama pengguna terutama golongan mudah perlu dilatih supaya menggunakan kemudahan itu dengan baik.

"Sebab itu saya tekankan supaya semak, dapat maklumat dan fakta yang sebenarnya," jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, sistem nilai dan ilmu menjadi elemen terpenting dalam pembentukan generasi muda yang berani dan berkeyakinan tinggi.

Menurutnya, hanya dengan ilmu dan memahami sistem nilai sahaja dapat menyelamatkan negara daripada terus dirosakkan pihak tertentu.

"Anak muda ini ditandai dengan apa? Bila idealisme kepada perkara yang baik, adil dan benci kepada rasuah serta penyelewengan cetusan itu akan mendorong kepada beberapa keputusan yang kadang-kadang keras.

"Sebab itu ada anak muda yang cakap dia pemimpin muda, tetapi tidak semestinya mencetuskan idealisme muda.

"Kadang-kadang orang umurnya muda, tapi fikiran macam orang tua, umurnya muda tapi sekongkol dengan perasuah. Umurnya muda tapi jadi penjilat dan pencacai kepada orang yang membawa kerosakan," ujarnya ketika menjawab antara soalan dikemukakan peserta pada program itu.