'PN tak tenang seperti digambarkan' - Saifuddin

Iklan
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Saifuddin)

ALOR SETAR - Tindakan bekas pemimpin Pas yang menjadi calon Bebas menentang calon Perikatan Nasional (PN) di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Langkawi membuktikan gabungan itu tidak harmoni seperti digambarkan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selain Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang turut berdepan konflik apabila berlaku ketidakpuasan hati terhadap calon ditampilkan PN.

Iklan
Iklan

Menurutnya, situasi tersebut diharapkan dapat memberi manfaat kepada calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) setelah pengundi disajikan situasi sebenar yang berlaku dalam PN.

"Mereka cuba beri gambaran semuanya cantik, tertib sebelum penamaan calon. Hakikatnya mereka terpaksa berhempas-pulas dengan konflik dalaman sekarang ini.

Iklan

"Peristiwa ini menyerlahkan beberapa perkara mengenai PN, bermakna semuanya tidaklah tenang seperti digambarkan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kedah pada Selasa.

Hadir sama calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Suka Menanti, Datuk Zamri Yusof.

Iklan

Saifuddin berkata, ia juga menunjukkan disiplin kepatuhan terhadap organisasi Pas dijangkiti ‘penyakit kronik’.

"Tindakan itu tidak mencerminkan sebuah parti yang dasar perjuangannya Islam. Ia wajar diperhatikan oleh rakyat dan pengundi,” ujarnya.

Menurutnya, tindakan Pas di Pulau Pinang tidak mustahil akan memakan diri apabila Dominic dipertaruhkan di kawasan majoriti Melayu.

"Kerusi majoriti Melayu cuma ada di Balik Pulau, Pulau Betong, Teluk Bahang dan Bayan Lepas. Apabila Gerakan bertanding di situ, sudah tentu sentimen Pas bangkit sebab parti itu sering mainkan isu politik bahawa orang Melayu mesti diperkuatkan kuasa politik, tiba-tiba kawasan itu diberikan kepada Gerakan.

"Begitu juga di Kelantan, tak selesai antara Nik Amar dengan Nik Abduh yang kini bukan lagi rahsia umum,” katanya.

Saifuddin tegaskan, tidak mustahil kemelut itu membuka ruang kemenangan kepada PH dan BN.

"Di Langkawi pula, parti dominan selain UMNO dan PKR adalah Pas. Apabila tak dapat jadi calon, ahli protes dan luah menerusi bertanding calon Bebas.

"Keadaan itu menguatkan lagi keyakinan saya DUN Ayer Hangat dan Kuah, kerusi berpotensi untuk Kerajaan Perpaduan. Saya ingin nasihatkan rakan-rakan Pas di sana mereka masih ada pilihan dan luahkan tak puas hati itu dengan beri undi kepada calon PH-BN,” katanya.

Pada Isnin, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan parti itu sudah menggugurkan keahlian Timbalan Yang Dipertua Pas Langkawi, Mazlan Ahmad dan Timbalan Ketua Pemuda Pas Langkawi, Safwan Hanif Shafie yang masing-masing bertanding calon Bebas di DUN Kuah dan Ayer Hangat.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!