BANTING - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas naratif dimainkan pihak tertentu bahawa parti DAP menjadi punca permasalahan dalam kalangan orang Melayu.
Anwar berkata, sepanjang lapan bulan beliau memimpin Kerajaan Perpaduan, jemaah menteri dari DAP tidak pernah membantah sebarang peruntukan yang diberikan untuk agama Islam dan kaum Melayu.
Iklan
Iklan
"DAP dan Anthony Loke dalam kabinet sekarang tidak ada masalah, tambah peruntukan untuk Islam dia tak melawan, selesaikan berbilion ringgit hutang Felda dia tak melawan, peruntukan RM3 bilion untuk pesawah padi yang miskin dia tak lawan.
"Orang Melayu bermasalah bukan disebabkan kaum Cina, bukan sebab DAP, jangan temberang,” katanya ketika memberi ucapan di program Ramah Mesra Bersama Rakyat Jelajah Madani di Kampung Sawah, di sini malam ini.
Sebaliknya, Anwar berkata, pemimpin Melayu terdahulu yang bersifat tamak haloba, menjadi punca pelbagai masalah termasuk keadaan negara yang menanggung hutang tinggi ketika ini.
"Masalah doktor kontrak, bertahun-tahun ugut mogok, tetapi bila kita pegang (menjadi kerajaan) dua ke empat bulan, kita boleh selesai,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memberikan peruntukan segera untuk membaiki rumah tentera dan polis, yang sebelum ini berada dalam keadaan sangat teruk dan terbiar sekian lama. - Bernama