KOTA BHARU - Pas mendesak supaya Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil meletakkan jawatan susulan isu kelakuan tidak senonoh membabitkan kumpulan artis antarabangsa The 1975, bulan lalu.
Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kerajaan sepatutnya lebih peka dan membuat tapisan terlebih dahulu sebelum membenarkan artis antarabangsa membuat konsert di negara ini.
"Kumpulan-kumpulan rock artis antarabangsa ini banyak menyokong agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Mereka juga antara lainnya kumpulan Coldplay.
"Kami minta pihak kerajaan tapis dahulu sebelum meluluskan konsert sebegini dan sekiranya terbabit dengan agenda seperti ini jangan bagi masuk awal-awal lagi, namun kerajaan hentam kita pula dalam Dewan Rakyat, kata pembangkang ini tidak ada benda lain nak bercakap,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Isu-isu Semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, di sini pada Selasa.
Turut hadir, Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, isu yang berlaku itu menunjukkan kerajaan yang longgar dalam negara ketika ini.
"Jadi, Menteri Komunikasi dan Digital wajib letak jawatan,” ujarnya.
Sebelum ini, akhbar melaporkan, konsert kumpulan tersebut dihentikan susulan tindakan biadab vokalisnya, Matty Healy yang menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia dan memperlekehkan undang-undang negara pada Festival Good Vibes yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor, pada 21 Julai lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Aksi biadab The 1975 undang kemarahan orang ramai
Aksi sangat biadab The 1975: Fahmi minta penganjur Good Vibes Festival 2023 beri penjelasan
Aksi sangat biadab The 1975: Pengunjung boleh tebus tiket kemasukan
Henti konsert The 1975 bukti kerajaan tegas - Penganalisis
Aksi sangat biadab The 1975: Polis panggil penganjur
Festival Good Vibes dibatalkan serta-merta - Fahmi
'Haramkan The 1975 masuk ke Malaysia' - Dr Akmal