BEBERAPA hari lalu, pentas politik negara panas apabila Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bercadang mengadakan debat hal ehwal ekonomi dengan menjemput figura politik daripada parti pembangkang.
Setelah beberapa kali percubaan akhirnya Rafizi menemui seteru dari parti pembangkang untuk bersama-sama membicarakan isu ekonomi dan memberikan input baharu dalam menambah baik keadaan semasa.
Pada mulanya, ahli Parlimen Pandan itu menjemput bekas Menteri Kanan Kluster Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, namun ditolak.
Difahamkan, Mohamed Azmin menetapkan syarat sekiranya mahu berdebat bersama Rafizi perlu membuktikan terlebih dahulu bahawa beliau telah berjaya dalam pelaksanaan dan pemulihan ekonomi negara.
Setelah ditolak, Rafizi tidak berputus asa, lalu mempelawa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tetapi turut ditolak.
Menurut laporan media tempatan, Muhammad Sanusi memaklumkan berdebat bersamanya tidak akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi.
Rafizi kemudiannya menjemput Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Sulaiman berdebat bersama dan akhirnya diterima apabila pucuk pimpinan parti itu memberi persetujuan untuk ahli Parlimen Bachok itu berdebat.
Isu ini telah membawa kepada laporan muka hadapan Sinar Harian pada 2 Ogos.
Pentas perdebatan ekonomi yang dibawa oleh Rafizi itu perlu dilihat menerusi konteks yang lebih meluas bukan sahaja membangkitkan isu politik semata-mata.
Sebaliknya, ahli politik perlu menjadikan platform itu untuk mengutarakan pandangan dalam proses menambah baik ekonomi negara.
Bukan itu sahaja, apabila pihak pembangkang memberi idea-idea realistik, kerajaan perlu mengambil pandangan tersebut supaya tidak timbulnya isu mengetepikan cadangan yang diberikan.