Mane ahli keluarga baharu Al-Nassr

Iklan
Mane (kiri) ahli keluarga baharu kelab Liga Pro Saudi.

PENYERANG Senegal Bayern Munich, Sadio Mane menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al-Nassr selepas satu musim bersama juara Bundesliga itu, kata kedua-dua kelab.

Mane telah menandatangani kontrak empat tahun, tambah Al-Nassr pada platform pemesejan X.

Iklan
Iklan

Butiran kewangan tidak didedahkan tetapi laporan media mengatakan Arab Saudi membayar 40 juta pound (RM198 juta) untuk pemain berusia 31 tahun itu yang mempunyai baki dua tahun lagi dalam kontrak Bayern.

"Ya, saya amat gembira untuk menjadi sebahagian daripada ahli keluarga Al-Nassr, saya tidak sabar untuk bertemu anda," kata Mane dalam satu video Al-Nassr

Iklan

Mane berpindah ke Bayern tahun lalu dengan harapan tinggi selepas menjaringkan 120 gol dalam 269 perlawanan untuk Liverpool di mana dia memenangi Liga Juara-Juara, Liga Perdana, Piala FA, Piala Liga dan Piala Dunia Kelab.

Dia adalah tokoh penting dalam serangan kelab Merseyside itu tetapi gagal membuat kesan yang sama di Bayern, di mana dia bertengkar dengan rakan sepasukan Leroy Sane dan memukul pemain sayap Jerman itu - satu kesalahan yang menyaksikan dia didenda dan digantung.

Iklan

Pemain Bola Sepak Terbaik Afrika dua kali itu mencatatkan purata lebih daripada 20 gol semusim dalam lima kempen terakhirnya bersama Liverpool tetapi hanya menjaringkan 12 gol untuk Bayern.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Sadio Mane untuk musim lalu.

"Sudah tentu ia bukan tahun yang mudah untuknya, mengalami kecederaan sejurus sebelum Piala Dunia dan terlepas penyertaan bersama Senegal, yang sebelum ini dia telah membawa kepada kejayaan sulung Piala Negara-Negara Afrika dan kelayakan Piala Dunia.

"Disebabkan masa rehat yang lama, dia tidak dapat menyumbang banyak kepada FC Bayern seperti yang kami dan dia sendiri harapkan. Itulah sebabnya kami memutuskan bersama-sama bahawa dia harus memulakan lembaran baru dalam kerjayanya dan membuat permulaan baru di kelab lain," Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Jan-Christian Dreesen memberitahu laman web kelab.

Mane menyertai Al-Nassr yang telah memperkuatkan skuad mereka sejak tandatangan besar Cristiano Ronaldo musim lalu.

Gergasi Arab Saudi, yang merupakan naib juara musim lalu, telah menandatangani pemain tengah Marcelo Brozovic dari Inter Milan dan Seko Fofana dari Lens manakala bek kiri Alex Telles juga menyertai Manchester United.

Al-Nassr dilarang mendaftar pemain baharu awal bulan ini kerana tertunggak hutang, dengan FIFA berkata, mereka perlu membayar berkaitan perpindahan pemain Nigeria, Ahmed Musa dari Leicester City.