RANGKAIAN pemborong dan peruncit halal terbesar tempatan, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) melaksanakan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam perniagaan selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, jalinan kerjasama dengan lapan rakan strategik mampu merealisasikan misi tersebut.
Menurutnya, antara inisiatif yang diaplikasikan adalah pemasangan sistem solar (PV), sistem kepintaran data, pengurusan sisa efektif, kecekapan tenaga, penggunaan tenaga boleh guna dan sistem logistik pintar yang membantu mengurangkan pelepasan karbon.
"Kami turut menekankan aspek pelaporan dan penyelidikan ESG dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi memastikan kolaborasi antara pemain industri serta pendidik dalam menyokong agenda kelestarian nasional,” katanya pada Majlis Pelancaran Mydin Prihatin #forfuture yang turut dihadiri Menteri Alam Sekitar, Sumber Asli dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad di sini pada Selasa.
Menurut Ameer, melalui kerjasama pemasangan sistem solar dengan kolaborasi bersama GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) iaitu syarikat subsidiari Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak 26,464,764 kilowatt jam (kwj) tenaga bersih dapat dijana setiap tahun melalui panel yang dipasang.
Tambahnya, Mydin akan memperluas inisiatif tersebut ke 14 cawangan lain menjelang tahun 2025 dan ia dijangka mampu mengurangkan sejumlah 20,643 jisim karbon dioksida setiap tahun.
"Penyediaan solusi tenaga solar sebagai sumber alternatif tenaga elektrik adalah selari dengan inisiatif peralihan tenaga TNB yang berteraskan ESG.
"Ini merupakan sokongan terhadap dasar atau matlamat kerajaan khususnya Kementerian Alam Sekitar, Sumber Asli dan Perubahan Iklim bagi memastikan setiap perniagaan memainkan peranan dalam menjaga persekitaran terutama tadbir urus sosial,” katanya.