Perkasakan bantuan awal kepada pelajar

Iklan
(Baris belakang): Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid (lapan dari kiri) bergambar bersama pelajar penerima WPP sambil menunjukkan plakad WPP yang diadakan di Dewan Serbaguna Taman Mawar Pasir Gudang, Johor.

(Baris belakang): Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid (lapan dari kiri) bergambar bersama pelajar penerima WPP sambil menunjukkan plakad WPP yang diadakan di Dewan Serbaguna Taman Mawar Pasir Gudang, Johor.

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkasakan bantuan kepada 42,946 pelajar menerusi peruntukan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) bagi mereka yang melanjutkan pengajian peringkat diploma di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan politeknik sesi Julai 2023.

Iklan
Iklan

Bagi tujuan tersebut, PTPTN agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah memperuntukkan sebanyak RM64.42 juta bagi memastikan bantuan disalurkan kepada ibu bapa serta pelajar sekali gus mengelakkan tiada yang tercicir ke IPTA kerana masalah kewangan.

PTPTN dalam kenyataan memaklumkan, bantuan WPP yang berjumlah RM1,500 itu diberikan kepada setiap pelajar yang layak untuk menampung sebahagian perbelanjaan demi persiapan awal mereka memasuki IPTA.

Iklan

WPP ini diberikan kepada pelajar-pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima WPP semasa memohon melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan IPTA, ibu bapa atau penjaga pelajar merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Semenjak WPP diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 31 Mei 2023, seramai 969,046 pelajar telah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.43 bilion.

Iklan

Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan bermula 18 Julai 2023 hingga 18 September 2023.

Pelajar boleh menunaikan WPP tersebut di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 18 Julai 2023 dengan membawa surat tawaran WPP serta MyKad pelajar. Wakil adalah tidak dibenarkan.

Para pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap IPTA untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya.

Maklumat lanjut berkenaan WPP dan pinjaman PTPTN boleh diperolehi melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.

"Pelajar juga boleh mendapatkan maklumat dengan cepat, mudah dan selamat melalui aplikasi myPTPTN,” ujarnya.

Ringankan beban keluarga

Sementara itu, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hanna Nursyafika Abdul Moin, 18, berkata, peruntukan WPP daripada PTPTN itu dapat membantu meringankan beban keluarganya dari segi membeli pelbagai barangan untuk tujuan kegunaan kampus.

HANNAH NURSYAFIKA

"Saya rasa bersyukur dan gembira sebab mendapat bantuan WPP ini. Sebab kita tahu nak masuk IPT ini perlu menggunakan banyak duit.

"Dengan peruntukan ini, saya dapat gunakannya untuk membeli barangan keperluan seperti buku dan alat tulis, makanan dan barang peribadi.

"Memandangkan saya daripada Sabah, saya juga kena gunakan duit untuk beli tiket penerbangan untuk ke Semenanjung, jadi bantuan ini sangat membantu saya,” katanya pada Sabtu.

Anak bongsu kelahiran Lahad Datu, Sabah daripada tiga beradik itu berkata, ibunya, Danlizsa Jamin, 49 telah bercerai dengan ayahnya sejak kecil lagi dan bekerja sebagai kerani dengan pendapatan sebanyak RM1,000 lebih sebulan bagi menanggung keperluan harian keluarga.

"Saya berterima kasih kepada PTPTN atas sumbangan yang diberikan kerana bantuan ini bukan sahaja membantu melanjutkan pelajaran saya tetapi ia juga membuka peluang lebih cemerlang untuk saya.

"Sudah tentu saya bersyukur kerana pemberian ini dapat bantu meringankan beban ibu saya yang kini menyara kami sekeluarga,” ujarnya.